SUBVARIAN COVID-19 baharu yang dikesan pada 2022 dilaporkan menjadi strain dominan paling pantas di Amerika Syarikat (AS).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes membabitkan varian XBB.1.5 yang dikenali sebagai "Kraken" itu melonjak ke seluruh AS dan turut dikesan di sekurang-kurangnya 31 negara lain, lapor Bloomberg,

XBB.1.5 ialah subvarian Omicron XBB yang merupakan gabungan di antara dua strain terdahulu iaitu BA.2.75 dan BA.2.10.1.

Varian asal XBB telah menyebabkan gelombang jangkitan di negara-negara termasuk Singapura dan India sejak Oktober tahun lalu.

Walaupun menyumbang hanya satu peratus daripada semua kes COVID-19 pada awal Disember, jangkaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS menunjukkan kes terus melonjak menjelang akhir bulan, meliputi 41 peratus jumlah jangkitan.

Menurut Ketua Teknologi COVID-19 WHO, Dr Maria Van Kerkhove, angka melonjak melebihi 70 peratus di negeri-negeri di timur laut.

“XBB.1.5 ialah subvarian yang mudah berjangkit yang berjaya dikesan," katanya.

Walaupun hanya 31 negara telah melaporkan kes jangkitan, pihak kesihatan memberi amaran bahawa ia boleh menjadi lebih meluas dan menular secara senyap susulan penurunan dalam jumlah ujian.

Di negara lain, jangkitan disebabkan oleh XBB.1.5 kekal lebih rendah.

Jangkaan Institut Wellcome Sanger mendapati bahawa varian itu membentuk sekitar 4 peratus daripada jangkitan COVID-19 di England pada pertengahan Disember lalu, manakala Kanada telah menemui beberapa kes serupa.

Para saintis menegaskan bahawa subvarian itu mempunyai pertalian yang lebih kuat kepada ACE2, reseptor utama untuk virus itu ‘mengikat’ lebih mudah dan meningkatkan jangkitan.


Adakah ia lebih berbahaya daripada varian sebelumnya?

Tidak terdapat perbezaan ketara dalam keterukan yang dilaporkan antara kes yang disebabkan oleh XBB.1.5 dan varian sebelumnya.

Seperti strain lain yang turut membimbangkan saintis, XBB.1.5 menarik perhatian kerana ia menunjukkan tanda-tanda melepasi sistem perlindungan imuniti.

Ini bermakna ia mempunyai keupayaan untuk mengelak imuniti semula jadi atau perlindungan terdahulu yang diberikan oleh vaksin, dan menjangkiti semula orang yang telah pulih daripada serangan COVID-19 lebih awal.

Para saintis dalam artikel diterbitkan jurnal Cell memberi amaran bahawa subvarian seperti XBB.1.5 menimbulkan "ancaman serius" kepada vaksin COVID-19 semasa.

Kebolehtularan lebih tinggi juga bermakna lebih ramai orang berkemungkinan dijangkiti.

WHO merancang mengeluarkan penilaian terkini tentang risiko varian itu dalam beberapa hari akan datang.

Shanghai telah mengesan tiga jangkitan disebabkan oleh varian tersebut dan mendakwa semuanya adalah kes import.