VARIAN baharu COVID-19, Omicron, kini sudah merebak ke satu per tiga atau 16 negeri di Amerika Syarikat (AS), namun varian Delta masih kekal mendominasi jangkitan di seluruh negara.

Menurut pakar penyakit berjangkit terkemuka AS Dr Anthony Fauci pada Ahad, walaupun kemunculan varian baharu itu menyebabkan kebimbangan di seluruh dunia, namun beliau melihat tiada laporan mengenai komplikasi yang teruk.

Ini jelasnya kerana, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan ia masih memerlukan banyak kajian dijalankan.

Tambah Fauci, yang merupakan Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional AS, beliau berharap Amerika dapat menarik semula larangan kemasukan ke atas pelancong dari negara-negara Afrika Selatan.

Ini berikutan, kerajaan di Afrika Selatan mendakwa tindakan sekatan itu seperti hukuman ke atas mereka yang sepatutnya dipuji kerana bertindak cepat melaporkan mengenai penemuan varian baharu.

Sekurang-kurangnya 16 negeri melaporkan kes berkaitan varian Omicron, iaitu California, Colorado, Connecticut, Hawaii, Louisiana, Maryland, Massachusetts, Minnesota, Missouri, Nebraska, New Jersey, New York, Pennsylvania, Utah, Washington dan Wisconsin.

Kebanyakan kes melibatkan mereka yang telah lengkap divaksin dengan simptom ringan, walaupun status dos penggalak mereka tidak dilaporkan.

Varian Delta masih menyumbang 99.9 peratus kes COVID-19 baharu di AS.

Kes baharu AS mencecah 119,000 secara purata setiap hari dan hampir 1,300 nyawa menjadi korban disebabkan wabak itu.