ADDIS ABABA (ETHIOPIA): Cuaca ekstrem dan kejadian berkaitan iklim menjejaskan sekurang-kurangnya 13 juta penduduk serta mengakibatkan lebih 3,000 kematian di seluruh Afrika pada 2025, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), lapor Xinhua.
Dalam laporannya yang bertajuk "State of the Climate in Africa 2025", yang dikeluarkan pada Khamis, organisasi itu menyatakan kejadian cuaca ekstrem telah menjejaskan semua sektor ekonomi dan masyarakat di benua itu, sekali gus menyebabkan peningkatan paras banjir dan aras laut, selain penyusutan glasier termasuk di Gunung Kilimanjaro yang ikonik.
Menurut laporan itu, benua Afrika mengalami pemanasan pada kadar yang lebih pantas berbanding purata global.
Glasier di Afrika telah kehilangan lebih 90 peratus daripada keluasan asalnya sejak penghujung abad ke-19. Di Gunung Kilimanjaro, keluasan glasier menyusut daripada 11.4 kilometer persegi pada 1900 kepada kurang daripada satu kilometer persegi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Aras laut meningkat di sepanjang pesisir pantai Afrika dari 1999 hingga 2025, melebihi purata global sebanyak 3.6 milimeter setahun di beberapa wilayah. Banjir menyumbang lebih separuh daripada kejadian yang dilaporkan, termasuk banjir besar di Nigeria yang meragut lebih 200 nyawa serta banjir di Republik Demokratik Congo yang mengorbankan lebih 160 orang masing-masing pada Mei dan April tahun lalu, menurut laporan itu.
Laporan itu turut menyatakan bahawa benua berkenaan berdepan jurang kritikal dalam sistem amaran awal, dengan hanya 40 peratus negara Afrika memiliki sistem amaran awal pelbagai bahaya yang diperlukan bagi menyelamatkan nyawa dan melindungi sumber pendapatan penduduk.
Extreme weather & climate events affected 13+ million people & caused 3000+ deaths in Africa in 2025.
Only 40% of countries have multi-hazard #EarlyWarnings, but signs point to improvement in preparedness & response.
🆕WMO #StateOfClimate in Africa 2025: https://t.co/AjBgM9nLzS pic.twitter.com/LEIycHtGjW— World Meteorological Organization (@WMO) June 18, 2026
Bagaimanapun, laporan itu turut menunjukkan wujud kerjasama yang menggalakkan antara perkhidmatan meteorologi, agensi pengurusan bencana dan pihak berkuasa tempatan dalam mempertingkatkan perkhidmatan iklim serta keupayaan tindak balas.
"Tanda-tanda perubahan iklim semakin jelas di seluruh Afrika, daripada peningkatan suhu dan kenaikan aras laut kepada banjir serta kemarau yang membawa kemusnahan. Laporan ini bukan sahaja menunjukkan skala risiko yang dihadapi, tetapi juga kepentingan yang semakin meningkat terhadap amaran awal, perkhidmatan iklim dan tindakan terselaras bagi melindungi nyawa serta mata pencarian," menurut laporan itu yang memetik kenyataan Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo.
-- BERNAMA-XINHUA