DUNIA
Dalai Lama harap hidup 40 tahun lagi sempenan ulang tahun ke-90

Dalai Lama juga menegaskan bahawa institusi Dalai Lama akan diteruskan, dan Gaden Phodrang Trust akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengenal pasti reinkarnasi beliau kelak. - Foto AP
DHARAMSHALA: Pemimpin rohani Tibet, Dalai Lama, menyatakan harapan untuk terus hidup selama 30 hingga 40 tahun lagi, menjelang sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-90 pada Ahad, dalam satu majlis doa panjang umur yang diadakan di Kuil Tsuglagkhang, Dharamshala.
Dalam ucapannya, Dalai Lama berkata beliau merasakan dirinya masih diberkati dan mampu terus berkhidmat kepada umat manusia dan ajaran Buddha.
“Saya telah lakukan yang terbaik setakat ini. Dengan berkat Avalokiteshvara, saya harap dapat hidup sehingga usia 130 tahun,” katanya di hadapan ribuan penyokong dan sami.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh tokoh-tokoh penting termasuk Menteri Kabinet India Kiren Rijiju, Ketua Menteri Arunachal Pradesh Pema Khandu, dan pelakon Hollywood Richard Gere, yang juga Pengerusi Kempen Antarabangsa untuk Tibet.Dalai Lama juga menegaskan bahawa institusi Dalai Lama akan diteruskan, dan Gaden Phodrang Trust akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengenal pasti reinkarnasi beliau kelak.
Kenyataan ini dilihat sebagai tindak balas terhadap spekulasi berterusan dan tekanan dari China, yang mendakwa mereka berhak menentukan pengganti Dalai Lama.
Beliau turut mengimbas pertemuannya dengan Mao Zedong, yang pernah menyatakan bahawa “agama adalah racun”, namun Dalai Lama memilih untuk tidak membalas dan hanya merasakan belas kasihan.
Sambutan ulang tahun ke-90 ini menjadi sebahagian daripada kempen “Tahun Belas Kasihan”, yang dianjurkan oleh kerajaan Tibet dalam buangan, bagi memperingati warisan budaya dan rohani Tibet.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami