Skip to main content

Malaysia

RM813.8 juta peruntukan pembangunan Kementerian Ekonomi untuk inisiatif manfaatkan rakyat - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah berkata, pelaksanaan inisiatif itu memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komuniti, peluang peningkatan pendapatan, pembangunan modal insan dan keusahawanan. - Gambar fail
Akmal Nasrullah berkata, pelaksanaan inisiatif itu memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komuniti, peluang peningkatan pendapatan, pembangunan modal insan dan keusahawanan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM813.8 juta atau 38.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan perbelanjaan pembangunan Kementerian Ekonomi menerusi Belanjawan 2027 akan disalurkan bagi pelaksanaan inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan perbelanjaan pembangunan kementerian berjumlah RM2.12 bilion, selaras dengan pendekatan berteraskan rakyat yang diberi penekanan dalam Belanjawan 2027.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komuniti, peluang peningkatan pendapatan, pembangunan modal insan dan keusahawanan.

Advertisement

“Ini penting supaya pertumbuhan ekonomi bukan hanya tertumpu kepada angka dan pelaburan, tetapi turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan mobiliti ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Advertisement

Beliau berkata, sebanyak RM805.2 juta turut diperuntukkan kepada enam negeri kurang membangun bagi memperluas peluang ekonomi serta merangsang pertumbuhan yang lebih seimbang antara wilayah.

“Keseluruhan peruntukan pembangunan kementerian itu meningkat 11.9 peratus berbanding 2026, melibatkan 131 projek merangkumi 41 projek baharu dan 90 projek sambungan,” katanya.

Menyentuh peruntukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Akmal Nasrullah berkata, peningkatan perbelanjaan bagi 2027 didorong oleh kos operasi dan pelaksanaan aktiviti statistik berskala lebih besar, termasuk analisis dapatan Banci Ekonomi 2026 serta pelaksanaan Household Income Survey yang dijangka bermula tahun depan.

Beliau berkata, kementerian turut merancang beberapa inisiatif kajian baharu, antaranya analitik data raya bagi analisis spasial, mobiliti dan sosioekonomi, Malaysia Happiness Survey, Time Use Survey 2027 serta penetapan semula tahun asas statistik tenaga buruh dan guna tenaga, dengan siling keseluruhan RM5.97 juta.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM2,764,365,500 yang diperuntukkan kepada Kementerian Ekonomi dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 17 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement