Seorang Datuk Bandar diheret dengan trak sebagai protes sekumpulan petani di Selatan Mexico gara-gara tidak menunaikan janji.

Kejadian berlaku Selasa lalu apabila puluhan penduduk asli Tojolabal bersenjatakan belantan memecah masuk pejabat Datuk Bandar di bandar Las Margaritas di negeri Chiapas.

Seorang saksi memberitahu, petani itu mengikat Datuk Bandar, Jorge Luis Escandon di belakang trak sebelum mengheretnya.

Luis Escandon diheret beberapa meter di atas jalan raya sebelum polis dan kakitangan awam masuk campur. Luis Escandon kemudian dibebaskan dan tidak mengalami kecederaan.

Rakaman detik cemas Luis Escandon diikat belakang trak dan diheret.- Agensi


Pendakwa raya awam, Jorge Luis Llaven berkata, motif serangan berpunca daripada petani yang marah selepas gagal menuntut duit untuk disalurkan kepada komuniti mereka di Santa Rita El Invernadero di sini.

Presiden, Andres Manuel Lopez Obrador sebelum ini telah memperkenalkan polisi bantuan awam dalam bentuk wang tunai kepada penerima bagi menghalang amalan rasuah serta karenah birokrasi orang tengah.

Difahamkan seramai 11 orang ditahan dan puluhan lagi mengalami kecederaan dalam huru-hara itu.

Pasukan polis negeri Chiapas juga dihantar untuk membantu memulihkan ketenteraman di Las Margaritas, sebuah bandar yang mempunyai 20,000 penduduk berhampiran sempadan Mexico dengan Guatemala.

Ini bukan kali pertama petani dari Santa Rita El Invernadero mengadakan protes ganas sebegitu. Empat bulan yang lalu mereka merosakkan dewan bandar, menuntut agar Escandon memenuhi janji yang telah dibuatnya semasa kempen 2018. - Agensi