Skip to main content

Malaysia

Langgar serpihan tayar, suami isteri maut nahas di Lebuhraya PLUS

PDRM
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Tapah.
Advertisement

IPOH: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam nahas dengan sebuah lori di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, berhampiran Tapah, dekat sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Tapah Supt Abdul Malik Hasim, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi melibatkan sebuah lori tanpa muatan dalam perjalanan dari Klang ke Ipoh dan sebuah motosikal dalam perjalanan dari Gombak ke Pulau Pinang.  

"Ketika sampai di KM342.9 lori yang berada di laluan kiri lebuh raya telah melanggar motosikal yang sebelum itu telah melanggar objek di laluan kecemasan, iaitu serpihan tayar, dan jatuh masuk ke laluan sah lori.

"Ia menyebabkan lori yang terlalu dekat tidak sempat mengelak dan telah menyeret motosikal tersebut sejauh 10 meter sebelum berhenti di lorong kecemasan," kata Abdul Malik dalam satu kenyataan malam tadi,

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan serius di bahagian perut dan dibawa ke Hospital Tapah sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan.

Pembonceng pula disahkan maut di tempat kejadian.

Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Tapah di talian 05-401 1222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain di talian 017-325 6140.

 

Must Watch Video

Advertisement