YAOUNDE: Presiden Chad Mahamat Idriss Deby Itno menandatangani dua dekri yang memberikan pengampunan presiden kepada sembilan pemimpin politik serta pengurangan sebahagian hukuman kepada banduan lain di seluruh negara, lapor Xinhua pada Jumaat pagi, memetik kenyataan pihak kepresidenan.
Bekas Perdana Menteri Succes Masra, yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan diarahkan membayar ganti rugi sebanyak 1 bilion franc CFA (kira-kira US$1.76 juta), merupakan antara penerima pengampunan itu.
Lapan pemimpin “Consultation Group of Political Actors” , termasuk Presiden dan Setiausaha Agung parti, turut menerima pengampunan selepas permohonan dikemukakan kepada ketua negara.
Sembilan tokoh politik itu akan dibebaskan selepas Kementerian Kehakiman menyelesaikan formaliti yang diperlukan.
Walaupun keputusan itu, yang pada mulanya diumumkan Mahamat Deby pada 10 Ogos, sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Chad, membatalkan hukuman penjara, pihak berkuasa berkata ia tidak membatalkan hukuman sivil yang masih berkuat kuasa.
Masra, Presiden parti politik pembangkang Chad, The Transformers, berkhidmat sebagai Perdana Menteri kerajaan peralihan dari Januari hingga Mei 2024.
Beliau ditahan pada Mei 2025 dan dijatuhi hukuman pada Ogos 2025 atas kesalahan “menghasut kebencian dan pemberontakan” serta bersubahat dalam pembunuhan.
-- BERNAMA-XINHUA