JAKARTA: Polis Metropolitan Jakarta mengerahkan kira-kira 2,000 anggota untuk memastikan keselamatan ketika berlangsungnya debat calon naib presiden menjelang Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024.

Debat itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) pada Ahad (21 Jan), lapor Antara.

Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya Pesuruhjaya Kanan Ade Ary Syam Indradi dalam satu kenyataan bertulis pada Sabtu berkata tidak ada penutupan jalan raya di kawasan sekitar semasa debat berlangsung.

"Justeru, kami meminta sokongan dan kerjasama daripada semua pihak...," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) mengumumkan bahawa 11 ahli panel telah mengesahkan kesediaan untuk mengambil bahagian dan telah dikuarantin dua hari bermula pada Jumaat (18 Jan).

Ahli panel kebanyakannya terdiri ahli akademik dan pengamal yang merupakan ahli pertubuhan masyarakat sivil.

Siri debat itu adalah sebahagian daripada kempen PEMILU 2024.

Debat KPU keempat akan menampilkan tiga calon naib presiden iaitu Muhaimin Iskandar, Gibran Rakabuming Raka dan Mahfud MD.

Antara topik yang akan diketengahkan antaranya berkaitan isu sumber asli, komuniti orang asli, alam sekitar dan tenaga.

-- BERNAMA