Skip to main content

Dunia

Delegasi tentera AS akan ke Beirut selaras pelaksanaan 'zon perintis' Lubnan-Israel

41736427492_TBJOSEPHAOUN.jpg
Satu lawatan rasmi Presiden Lubnan, Joseph Aoun (gambar), ke AS yang dijadualkan atas jemputan Presiden Donald Trump turut dibincang, selain perkembangan semasa di Lubnan dan rantau berkenaan. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Satu delegasi tentera Amerika Syarikat (AS) akan tiba di Beirut dalam beberapa hari lagi bagi menyelaras dan mewujudkan mekanisme di lapangan untuk memulakan operasi di "zon perintis" yang dipersetujui di bawah perjanjian rangka kerja Lubnan-Israel, kata Duta AS ke Lubnan, Michel Issa pada Khamis.

Pada 26 Jun, Lubnan dan Israel menandatangani perjanjian gencatan senjata serta perjanjian rangka kerja yang ditaja AS, yang memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan, bermula dengan dua "zon perintis" yang tidak dinyatakan lokasinya.

Menurut Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan Presiden, Issa berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Lubnan Joseph Aoun di Beirut.

Menurut kenyataan itu, Aoun dan Issa turut membincangkan lawatan rasmi Presiden Lubnan ke AS yang dijadualkan atas jemputan Presiden Donald Trump, selain perkembangan semasa di Lubnan dan rantau berkenaan.

Pada Rabu, satu sumber kanan Lubnan memaklumkan, Aoun diundang mengadakan lawatan ke Washington pada 21 Julai bagi mengadakan perbincangan dengan Trump. Lawatan itu dijangka memberi tumpuan kepada pelaksanaan perjanjian rangka kerja berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Aoun menegaskan keperluan memperkukuh gencatan senjata di selatan Lubnan dan menggesa tekanan dikenakan ke atas Israel supaya menghentikan operasi ketenteraannya serta mematuhi perjanjian rangka kerja yang diumumkan susulan rundingan Lubnan-AS-Israel di Washington.

Beliau turut menggesa supaya pengeboman, pemusnahan dan operasi menggunakan jentolak oleh Israel di bandar serta kampung yang masih diduduki tenteranya dihentikan.

Issa berkata, lawatan Aoun ke Washington amat penting pada ketika ini dan mencerminkan minat Trump terhadap Lubnan serta usaha untuk mencapai keselamatan dan kestabilan di negara itu.

Mengulas mesyuarat yang dijadual berlangsung di Rom dari 14 hingga 15 Julai, Issa berkata pemindahan lokasi perbincangan dari Washington ke ibu negara Itali itu dibuat semata-mata atas sebab teknikal bagi memudahkan urusan perjalanan duta dan anggota delegasi.

Issa berkata, mesyuarat di Rom akan bersifat penyelarasan dan pelaksanaan, dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan perjanjian rangka kerja Washington, khususnya melalui penubuhan kumpulan kerja khusus bagi melaksanakan pengaturan yang dipersetujui, termasuk yang memerlukan kepakaran undang-undang atau teknikal.

Rundingan di Rom akan meneruskan persefahaman yang dicapai di Washington, sambil menambah bahawa mesyuarat susulan akan diadakan di Rom atau lokasi lain bagi memantau pelaksanaan berperingkat perjanjian itu.

Mengenai garis masa pelaksanaan "zon perintis", Issa berkata persiapan sedang giat dijalankan dan satu delegasi tentera AS akan tiba di Beirut dalam beberapa hari lagi bagi menyelaras serta mewujudkan mekanisme pelaksanaan di lapangan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang kelompongan keselamatan apabila tentera Israel berundur dari kawasan yang ditetapkan, sambil menambah bahawa jadual pelaksanaan di lapangan bergantung kepada hasil mesyuarat penyelarasan.

Israel meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan sejak 2 Mac, meragut nyawa lebih 4,300 orang dan mencederakan lebih 12,000 yang lain, menurut angka rasmi.

Tentera Israel juga terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk kawasan yang diduduki selama beberapa dekad serta kawasan yang ditawan ketika perang 2023-2024, selain mara lebih 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan semasa serangan terbaharu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement