JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menutup denai kembara ke Gunung Semeru di Jawa Timur sehingga diberitahu kelak susulan kebakaran hutan berhampiran laluan itu pada Rabu.
Pihak berkuasa Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS) memaklumkan, kebakaran berlaku di Blok Ranu Kembang berhampiran denai kembara Gunung Semeru, menyebabkan laluan itu ditutup serta-merta.
“Penutupan itu dilaksanakan bagi menyokong usaha mengawal dan memadam kebakaran serta memindahkan pengunjung yang masih berada di kawasan berkenaan, dengan keselamatan mereka diberi keutamaan,” menurut TNBTS dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Gunung Semeru yang terletak di Jawa Timur dengan ketinggian 3,676 meter dari aras laut merupakan gunung tertinggi di Pulau Jawa serta antara gunung berapi aktif di Indonesia.
Pihak berkuasa itu memaklumkan, pendaki yang telah membeli tiket masuk menerusi sistem tempahan dalam talian boleh memohon bayaran balik atau menjadualkan semula kunjungan mereka selepas aktiviti pendakian disambung semula. Perincian mengenai prosedur berkenaan akan diumumkan kemudian.
Sementara itu, TNBTS memaklumkan, akses jalan raya melalui kawasan Semeru antara Malang dan Lumajang masih dibuka, manakala aktiviti pelancongan di Ranu Regulo berhampiran pintu masuk utama ke Gunung Semeru boleh diteruskan seperti biasa.
-- BERNAMA