PHNOM PENH: Masyarakat di seluruh rantau Mekong berdepan peningkatan ancaman kesihatan bermusim akibat denggi dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), ketika perubahan corak hujan serta peningkatan suhu boleh mempengaruhi penularan penyakit.
Pihak berkuasa kesihatan di Kemboja, Laos dan Vietnam meningkatkan tahap kewaspadaan apabila penyakit berkenaan menjadi ancaman serius terhadap kesihatan awam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Kementerian Kesihatan Vietnam memaklumkan sebanyak 100,000 kes HFMD dilaporkan setakat tahun ini, dengan 3,000 kes direkodkan setiap minggu.
Jumlah kes itu 2.5 kali lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Ketika jumlah jangkitan kekal tinggi dan risiko dijangka meningkat pada September dan Oktober, amalan kebersihan secara konsisten serta pengesanan awal di rumah dan sekolah amat penting bagi membendung penularan dan melindungi kesihatan kanak-kanak,” lapor Vietnamplus.
Di negara jiran Laos, pegawai kesihatan merekodkan 4,371 kes denggi di seluruh negara setakat 24 Ogos, menurut Lao News Agency.
Denggi merupakan penyakit bermusim di Laos, dengan jumlah kes lazimnya meningkat sepanjang musim hujan dari Mei hingga Ogos.
“Perubahan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu juga boleh mewujudkan keadaan sesuai bagi pembiakan nyamuk,” menurut agensi berita itu.
Kemboja pula turut berdepan kes denggi yang tinggi, dengan pihak berkuasa kesihatan negara itu memberi amaran mengenai peningkatan kes denggi dan HFMD.
Menurut laporan pemantauan denggi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 54,697 kes denggi termasuk 72 kematian dilaporkan setakat 2 Ogos.
Myanmar juga berdepan kesan kesihatan awam akibat monsun.
Kira-kira 90 orang dimasukkan ke Hospital Besar Yangon akibat cirit-birit pada pertengahan Ogos.
Kejadian itu menunjukkan risiko kesihatan yang lebih meluas berkaitan hujan lebat, banjir dan air tercemar.
Suhu tinggi, hujan lebat, banjir dan kemarau berpanjangan menyumbang kepada penyebaran penyakit berjangkit, menurut pakar kesihatan.
-- BERNAMA