Ringkasan AI
- Imej baharu asteroid Dimorphos menunjukkan kawah gergasi terbentuk selepas dirempuh kapal angkasa NASA dalam ujian pertahanan Bumi pada 2022.
- Kapal angkasa Hera ESA kini memantau kesan jangka panjang, mendapati orbit dan pergerakan Dimorphos berubah ketara selepas impak.
- Data misi ini dijangka membantu saintis menentukan kaedah terbaik memesongkan asteroid jika ancaman sebenar terhadap Bumi dikesan pada masa depan.
PARIS: Imej terbaharu asteroid Dimorphos yang sengaja dirempuh oleh kapal angkasa NASA pada 2022 mendedahkan kewujudan kawah gergasi hampir sebesar asteroid itu sendiri, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas tentang keberkesanan ujian pertahanan Bumi terhadap ancaman objek angkasa.
Menurut laporan BBC, imej berkenaan dirakam oleh kapal angkasa Hera milik Agensi Angkasa Eropah (ESA), yang kini menjalankan pemerhatian terperinci di lokasi pelanggaran untuk menilai kesan jangka panjang hentaman tersebut.
Dalam ujian yang dikenali sebagai DART, NASA menghantar sebuah kapal angkasa untuk merempuh Dimorphos pada kelajuan kira-kira 22,000 kilometer sejam.
Walaupun asteroid itu tidak mengancam Bumi, misi tersebut bertujuan menguji sama ada manusia mampu mengubah laluan objek angkasa yang berpotensi melanggar planet ini pada masa hadapan.
Saintis misi Hera, Sabina Raducan, berkata kawah yang terbentuk hampir menyamai saiz Dimorphos yang berukuran sekitar 150 meter lebar.
"Kawah itu hampir sebesar asteroid itu sendiri. Ia sesuatu yang benar-benar menakjubkan," katanya.
Hentaman tersebut berjaya mengubah orbit Dimorphos mengelilingi asteroid yang lebih besar, Didymos.
Sebelum pelanggaran, Dimorphos mengambil masa 11 jam 55 minit untuk melengkapkan satu orbit, namun tempohnya berkurangan kira-kira 33 minit selepas impak berlaku.
Menurut saintis, data yang dikumpulkan oleh Hera akan membantu mereka menentukan dengan lebih tepat kaedah terbaik untuk memesongkan laluan asteroid sekiranya ancaman sebenar terhadap Bumi dikenal pasti pada masa hadapan.
Misi itu turut mendapati bentuk dan pergerakan Dimorphos telah berubah dengan ketara.
Jika sebelum ini asteroid tersebut bergerak secara stabil, kini ia berputar dalam keadaan tidak menentu ketika mengelilingi Didymos.
Selain mengkaji Dimorphos, Hera turut merakam imej terperinci Didymos yang menunjukkan permukaannya dipenuhi bongkah batu besar, ada yang bersaiz hampir seperti kereta dan bas.
Penemuan itu dijangka membantu saintis memahami dengan lebih mendalam bagaimana asteroid bertindak balas terhadap hentaman dan meningkatkan kesiapsiagaan global menghadapi ancaman objek angkasa pada masa depan.