SINGAPURA: Singapura menganjurkan Dialog Shangri-La (SLD) ke-20 selama tiga hari dari Jumaat (2 Jun) hingga Ahad (4 Jun), menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) republik itu.

Dalam satu kenyataan, MINDEF berkata edisi tahun ini akan menyaksikan penyertaan 41 negara dengan 48 delegasi peringkat Menteri dan lebih 35 pegawai kanan pertahanan, termasuk Panglima Angkatan Tentera serta ahli akademik terkemuka.

Antara perwakilan ialah Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd J. Austin III dan Ahli Majlis Negeri China dan Menteri Pertahanan Negara Jeneral Li Shangfu, katanya.

Kementerian itu berkata Perdana Menteri Australia Anthony Albanese akan menyampaikan Ucaptama tahun ini pada hari pertama.

Sementara itu, Perdana Menteri Estonia Kaja Kallas dan Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta akan berucap pada sesi pleno pada Ahad mengenai topik "Perkongsian Baharu untuk Keselamatan Asia-Pasifik".

Presiden Singapura Halimah Yacob pula menjadi tuan rumah bagi delegasi untuk majlis makan malam di Istana pada Sabtu (3 Jun).

Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen akan berucap pada sesi pleno ketujuh pada Ahad mengenai topik "Membangun Model untuk Kerjasama Keselamatan".

Dr Ng akan menjadi tuan rumah kepada Menteri-menteri untuk perbincangan Meja Bulat pada hari Sabtu (3 Jun) dan sarapan pagi bagi menteri-menteri Perjanjian Pertahanan Lima Negara.

Beliau juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri dan pegawai kanan dari pelbagai negara di luar SLD.

SLD ditubuhkan pada tahun 2002 dan merupakan persidangan pertahanan dan keselamatan terulung di Asia-Pasifik.

"Selama bertahun-tahun, SLD telah menyediakan platform yang bermakna, terbuka dan berkecuali untuk pertukaran perspektif mengenai isu pertahanan dan keselamatan utama untuk Asia Pasifik," kata MINDEF.

SLD dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS)

-- BERNAMA