DUNIA
Didakwa bercerai, ini penjelasan Barack dan Michelle Obama...
WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan isterinya, Michelle Obama, akhirnya tampil bersuara terhadap khabar angin yang mendakwa mereka sedang melalui proses perceraian, namun dengan pendekatan yang bersahaja dan penuh jenaka.
Pasangan popular itu menjawab spekulasi tersebut dalam episod terbaharu podcast "IMO with Michelle Obama and Craig Robinson", yang turut menampilkan adik lelaki Michelle sebagai hos bersama.
Barack memulakan dengan berseloroh: “Dia terima saya semula! Tapi memang tegang sekejap dulu,” yang disambut dengan gelak ketawa oleh Michelle dan Craig.
Spekulasi mengenai keadaan rumah tangga mereka mula bertebaran sejak beberapa bulan lalu, susulan ketiadaan Michelle dalam beberapa acara awam, termasuk ketika Barack menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Donald Trump awal tahun ini.Craig Robinson sendiri mengakui, ramai orang kerap bertanya kepadanya tentang hubungan kakaknya dan abang iparnya, Barack, termasuk seorang wanita di lapangan terbang yang secara terus bertanya, “Apa yang dia dah buat sebenarnya?”
Michelle menjawab sambil ketawa: “Saya tahu... sebab bila kami tak dilihat bersama, orang terus fikir kami dah bercerai.”
Namun di sebalik nada bergurau itu, Michelle tampil tegas menjelaskan, rumah tangga mereka kekal utuh walaupun diuji dengan pelbagai cabaran sejak lebih tiga dekad lalu.
“Tidak pernah walau sekali pun dalam perkahwinan kami saya fikir mahu meninggalkan suami saya. Kami hadapi masa sukar, kami juga lalui saat menyeronokkan dan saya jadi insan yang lebih baik kerana lelaki yang saya kahwini ini,” kata Michelle membuat pengakuan.
Michelle juga mempertahankan keputusannya untuk tidak menghadiri beberapa acara rasmi, yang dianggap sesetengah pihak sebagai petunjuk rumah tangganya sedang bermasalah.
Jelas beliau, keputusan itu dibuat atas dasar pilihan peribadi selepas sekian lama menjadi figura awam dan beliau kecewa apabila masyarakat segera membuat andaian tanpa memahami konteks sebenar.
“Saya buat keputusan yang sesuai untuk diri saya... tapi orang lebih suka percaya ia berpunca daripada masalah perkahwinan. Saya dikritik hanya kerana memilih untuk berkata ‘tidak’,” katanya.
Barack dan Michelle berkahwin pada 1992 dan dikurniakan dua orang anak perempuan, Malia dan Sasha.
Kedua-dua mereka kini aktif dalam pelbagai projek sosial, penerbitan dan kerja-kerja komuniti. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami