Seorang wanita yang berasa pedih pada bahagian matanya terkejut apabila diberitahu ia berpunca daripada lebah.

Lebioh tepat lagi, empat lebah kecil yang berada di dalam matanya dan menyebabkan ia bengkak.

Dalam kejadian yang berlaku di Taiwan, mangsa yang hanya dikenali sebagai He, 28, berkata dia sedang membersihkan kawasan perkuburan saudaranya.

He kemudian terasa pedih pada mata kirinya namun beranggapan ia akibat habuk yang berterbangan.

Sangkaannya meleset apabila pedih pada mata kirinya itu tidak surut.

Selepas beberapa jam, matanya mula membengkak dan He terus mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Doktor yang merawat He terkejut apabila menjumpai empat lebah kecil berukuran kira-kira 4mm di bawah kelopak matanya.

He walau bagaimanapun bernasib baik kerana tidak menggosok matanya yang berkemungkinan merosakkan kornea dan boleh menyebabkan dia buta.

Lebah kecil yang dikenali sebagai Helictidae itu ialah sejenis lebah yang tidak agresif dan tertarik dengan peluh manusia.

Ketika berada di dalam mata He, lebah berkenaan dipercayai mendapatkan kelembapan dan garam daripada saluran air mata He.