DISCORD dilaporkan telah memberhentikan sehingga 17% tenaga kerja dalam pelbagai jabatan dan pasukan. Jumlah itu dianggarkan bersamaan 170 pekerja dan pemberitahuan itu dimaklumkan menerusi memo dalaman syarikat berkenaan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Discord, Jason Citron dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha Discord untuk meningkatkan kecekapannya.

Beliau menambah syarikat itu perlu meningkatkan fokusnya serta memperbaiki cara ia bekerjasama secara dalaman. Tetapi tidak pula berkongsi lanjut sebarang perancangan untuk strategi khusus yang akan dilaksanakan kelak.

Kesemua pekerja yang diberhentikan diberikan pampasan yang termasuk bayaran gaji selama lima bulan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan sehingga penghujung tahun ini.

Bagaimanapun difahamkan bahawa pemberhentian itu bukanlah kali pertama terjadi. Malah sudah dibuat sejak Ogos tahun lalu yang melibatkan 4% tenaga pekerja yang diberhentikan. - Amanz