THE HAGUE: Perdana Menteri Belanda Rob Jetten mengadakan rundingan tergempar bersama rakan gabungan utama hari ini dalam usaha terakhir menyelamatkan kerajaan minoritinya daripada tumbang selepas hanya sembilan bulan berkuasa, lapor AFP.
Pertikaian politik berhubung dasar percukaian bagi belanjawan 2027 itu mencetuskan bayangan pilihan raya mengejut di negara ekonomi kelima terbesar Kesatuan Eropah (EU) berkenaan, sekali gus melemahkan kedudukan pemimpin berhaluan tengah tersebut.
Sejak memenangi pilihan raya lepas dengan majoriti tipis, parti pimpinan Jetten, D66 membentuk kerajaan gabungan minoriti tiga hala yang rapuh bersama parti berhaluan kanan tengah CDA dan parti berhaluan kanan VVD.
Selepas perdebatan panjang selama beberapa bulan mengenai pelan cukai, D66 dan CDA bertindak memeterai perjanjian bersama dua parti pembangkang berhaluan tengah kiri iaitu PRO dan Volt bagi meminda pakej percukaian tersebut, sekali gus membangkitkan kemarahan VVD.
Ketua VVD yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Dilan Yesilgoz mengecam tindakan itu dan menyifatkan gabungan berkenaan memerlukan penyusunan semula secara asas sekiranya rakan sekutunya berpihak kepada pembangkang.
Beliau berkata pihaknya langsung tidak dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan yang disifatkan menjejaskan kestabilan Belanda, pertumbuhan ekonomi serta iklim perniagaan negara.
Susulan perbahasan sepanjang hari pada Khamis, pakej cukai yang merangkumi cadangan meningkatkan cukai kekayaan bernilai satu bilion euro bagi mengurangkan beban cukai golongan berpendapatan rendah dan sederhana itu diluluskan dengan majoriti tipis 76 undi di Dewan Rendah Parlimen.
Bagaimanapun, VVD bertindak mengundi menentang dasar kerajaan sendiri sekali gus meretakkan asas gabungan tersebut.
Jetten mengakui perlunya permulaan baharu yang serius dan telah memanggil kedua-dua Timbalan Perdana Menterinya, iaitu Yesilgoz daripada VVD serta Menteri Suaka daripada CDA, Bart van den Brink untuk menghadiri mesyuarat penentu pagi Jumaat.
Pemimpin berusia 39 tahun itu berdepan kekangan politik berikutan gabungan kerajaannya hanya menguasai 66 daripada 150 kerusi Dewan Rendah Parlimen, memaksa beliau mendapatkan sokongan parti kecil atau pembangkang untuk meluluskan undang-undang.
Sementara itu, pemimpin parti berhaluan kanan ekstrem PVV Geert Wilders menyifatkan gabungan kerajaan sedia ada sudah lumpuh sepenuhnya dan hanya menunggu masa untuk dibubarkan.