Skip to main content

Teknologi

Gangguan global Microsoft lumpuhkan perkhidmatan e-mel, AI di 74 negara

Microsoft menjelaskan bahawa gangguan perkhidmatan dalam talian itu bukanlah berpunca daripada insiden serangan keselamatan siber, namun usaha pemulihan yang memasuki tempoh lebih 14 jam setakat hari ini hanya mencatatkan kejayaan marginal.
Microsoft menjelaskan bahawa gangguan perkhidmatan dalam talian itu bukanlah berpunca daripada insiden serangan keselamatan siber, namun usaha pemulihan yang memasuki tempoh lebih 14 jam setakat hari ini hanya mencatatkan kejayaan marginal.
Advertisement

SYDNEY: Gangguan teknikal besar-besaran melibatkan perkhidmatan gergasi teknologi Microsoft di peringkat global telah melumpuhkan sebahagian besar perkhidmatan utama termasuk sistem e-mel dan produk kecerdasan buatan (AI) sejak lewat semalam, lapor BBC.

Microsoft menjelaskan bahawa gangguan perkhidmatan dalam talian itu bukanlah berpunca daripada insiden serangan keselamatan siber, namun usaha pemulihan yang memasuki tempoh lebih 14 jam setakat hari ini hanya mencatatkan kejayaan marginal.

Antara perkhidmatan dalam rangkaian Microsoft 365 yang digunakan lebih 430 juta pengguna seluruh dunia dan terjejas teruk oleh masalah sambungan itu termasuk aplikasi Teams, Outlook dan perisian kecerdasan buatan Copilot.

Advertisement

Ramai pengguna di seluruh dunia melaporkan kesukaran untuk menghantar atau menerima e-mel melalui Exchange Online, selain gagal mengakses fail tertentu serta maklumat pada aplikasi kalendar masing-masing.

Walau bagaimanapun, sebahagian pengguna masih boleh menggunakan aplikasi Teams bagi tujuan pemesejan dan mesyuarat secara dalam talian tanpa sebarang gangguan ketara.

Advertisement

Skala penuh gangguan ini masih belum disahkan secara rasmi, namun laman pemantauan Downdetector merekodkan hampir 140,000 aduan pengguna di 74 negara dan wilayah membabitkan gangguan Outlook pada petang Khamis waktu GMT, iaitu lebih 2,000 kali ganda berbanding paras normal.

Insiden tersebut turut memberi kesan rantaian terhadap syarikat teknologi gergasi lain seperti OpenAI dan Anthropic yang bergantung kepada penyambung infrastruktur Microsoft, selain menjejaskan operasi agensi kerajaan di Singapura, Jepun serta agensi perisikan dan polis persekutuan Australia.

Beberapa klinik pengamal perubatan am (GP) di bawah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom (UK) turut mengeluarkan amaran mengenai gangguan sistem dan mengarahkan pesakit membuat pertanyaan kecemasan menerusi panggilan telefon.

Microsoft mengaitkan punca insiden berkenaan dengan bebanan trafik luar biasa pada infrastrukturnya selepas sejumlah besar pelayan menjadi tidak tersedia secara tiba-tiba, sekali gus memberi tekanan kepada baki pelayan sedia ada.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Australia Tony Burke pada sidang media di sini hari ini memaklumkan eksekutif Microsoft memberitahunya gangguan berkenaan berkemungkinan berkait rapat dengan kemas kini perisian yang bermasalah seumpama insiden global CrowdStrike pada Julai 2024.

Pagi tadi, Microsoft dalam kemas kini terbaharunya berkata pihaknya mula melihat tanda-tanda awal penstabilan pelayan selepas melaksanakan tampalan perisian, namun kapasiti perkhidmatan perniagaan dan pengguna masih belum kembali pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, pakar keselamatan siber dari Australia Troy Hunt berkata insiden tersebut membuktikan betapa kritikalnya peranan Microsoft sebagai tulang belakang internet dalam urusan kerja, pengesahan akaun dan komunikasi harian masyarakat global.

Must Watch Video

Advertisement