KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada ASEAN telah "terlalu menjanjikan" (overpromised) manfaat integrasi ekonomi serantau, atau berdepan kekangan struktur sebenar, menjadi tumpuan utama perbincangan sulung aseanx Forum bertajuk ASEAN 2.0: Reimagining Integration in a Fractured World.
Meskipun 99 peratus tarif antara negara anggota telah dimansuhkan, perdagangan barangan intra ASEAN hanya mencatatkan 22.5 peratus pada 2024, lebih rendah berbanding tahun 2010, dan jauh daripada unjuran 40 peratus sekiranya rantau ini benar-benar berintegrasi.
Mengulas perkara itu, Rakan Pengasas dan Pengerusi Ikhlas Capital yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak berpandangan ASEAN secara ringkasnya telah menjanjikan lebih daripada apa yang mampu dicapai.
Mengimbas pelan induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2007 yang menyasarkan pangkalan pengeluaran tunggal serta pergerakan bebas modal, perdagangan dan tenaga mahir menjelang 2015, beliau berkata sektor swasta telah melabur berdasarkan jangkaan tersebut namun kecewa apabila pelaksanaannya tertangguh dan tidak menepati janji.
"Saya rasa ASEAN secara ringkasnya telah terlalu menjanjikan apa yang boleh dicapai dari segi tahap integrasi... Kemudian tiba tahun 2015, tiada AEC. Mereka tangguh setahun. Dan selepas itu pada 2016, mereka mengadakan majlis untuk meraikan AEC yang langsung tidak kelihatan seperti apa yang dijanjikan.
"Jadi, ASEAN tidak menunaikan apa yang dijanjikan dan firma seperti CIMB ibarat sudah bersiap cantik tetapi tiada tempat untuk dituju, dengan menanggung kos tertentu," katanya dalam forum tersebut
Beliau turut menegur sikap pegawai kanan ASEAN yang didakwa terlalu meninggikan pencapaian sedia ada, termasuk hujah bahawa kadar perdagangan intra-ASEAN pada paras 20 hingga 25 peratus sudah memadai.
"Kita mesti jujur dan mengakui masalah itu terlebih dahulu. Terlalu banyak 'menyadur gula' dalam perbualan di ASEAN... ASEAN mesti berhenti bersikap terlalu berlembut sesama sendiri kerana apabila mereka terlalu berlembut, mereka tidak bercakap dan tidak menangani isu sebenar," tegasnya lagi.
Selain itu, Nazir menyifatkan struktur kepimpinan ASEAN yang bergilir setiap tahun sebagai pincang, sambil mengibaratkannya seperti sebuah syarikat di mana kuasa terletak pada Pengerusi yang bertukar setiap tahun manakala Ketua Pegawai Eksekutif (Setiausaha Agung ASEAN) tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.
Beliau memberi contoh inisiatif Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) yang dipersetujui di peringkat tertinggi, tetapi akhirnya hanya diumumkan dalam belanjawan Malaysia kerana negara jiran menganggapnya sebagai "idea Malaysia", manakala kakitangan peringkat pelaksana di Sekretariat ASEAN memaklumkan mereka tidak pernah mendengarnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengakui penghapusan tarif masih dibayangi halangan bukan tarif (non-tariff barriers), dasar perlindungan industri domestik, kekangan mobiliti bakat serta ketiadaan kesatuan monetari.
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menegaskan jurang pembangunan ekonomi antara negara anggota adalah terlalu besar untuk membolehkan persaingan terbuka sepenuhnya dilaksanakan secara adil.
"Tetapi ia terutamanya juga kerana jika anda melihat KDNK per kapita, PNK per kapita semua negara anggota ASEAN, satu berbanding yang lain, pada satu tahap—saya tidak mahu menamakan negaranya—perbezaannya adalah sekitar 300 kali ganda.
"Anda boleh lihat tahap pertumbuhan adalah satu perkara, tetapi tahap KDNK per kapita secara mutlak, jurangnya amat besar," katanya lagi.
Menggunakan analogi bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Tengku Zafrul yang pernah menerajui sektor perbankan sebelum menyertai kerajaan berkata beliau memahami kekecewaan sektor swasta tetapi melihat realiti cabaran di peringkat rundingan antara kerajaan.
"Sekarang ini, ia ibarat bermain bola sepak... Ia seperti Liga Perdana. Jika semua berada dalam Liga Perdana, maka pasukan divisyen dua atau tiga, tidak adil bagi mereka untuk bermain menentang pasukan Liga Perdana.
"Jadi apabila semua negara anggota ASEAN berada dalam liga yang sama, barulah lebih mudah untuk menjalankan perniagaan," tegasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyuarakan harapan agar Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dapat memacu pertumbuhan perdagangan barangan dan perkhidmatan serantau, di samping menyifatkan perjanjian perdagangan dua hala sebagai langkah pragmatik.
Tengku Zafrul berkata, perkara itu penting bagi mencapai akses pasaran yang lebih mendalam berbanding konsensus pelbagai hala yang sering terikat dengan tahap pembangunan berbeza.