Ringkasan AI
- Gempa bumi bermagnitud 5.0 melanda kawasan sekitar Los Angeles pada Sabtu, diikuti gegaran kedua bermagnitud 4.5 lebih dua jam kemudian.
- Pusat gempa terletak kira-kira enam kilometer dari pesisir Manhattan Beach, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.
- Tiada kerosakan infrastruktur, kecederaan atau ancaman tsunami dilaporkan, namun pihak berkuasa meneruskan pemeriksaan dan pemantauan.
BERKELEY (CALIFORNIA): Gempa bumi bermagnitud 5.0 menggegarkan kawasan sekitar Los Angeles pada Sabtu, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pusat gempa terletak kira-kira enam kilometer (km) dari pesisir pantai Manhattan Beach, tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX).
Gempa bumi berlaku pada kira-kira 9.30 pagi (1730 GMT) pada kedalaman sekitar 12 kilometer (km).
Lebih dua jam kemudian, USGS melaporkan satu lagi gempa bumi bermagnitud 4.5 dengan pusat gempa turut terletak kira-kira enam km dari pesisir pantai Manhattan Beach.
Jabatan Bomba Los Angeles turut memaklumkan bahawa tiada kerosakan infrastruktur atau kecederaan dikesan di bandar raya di pantai barat Amerika Syarikat (AS) itu susulan gempa pertama.
Selepas gegaran kedua, pihak berkuasa menyambung pemeriksaan bagi mengenal pasti kemungkinan kesan gempa berkenaan.
Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan AS menerusi platform X memaklumkan bahawa tiada ancaman tsunami.
Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass menerusi X menggesa orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan gegaran susulan.
-- BERNAMA-dpa