Skip to main content

Dunia

Dua gempa susulan gegar Flores, penduduk terus berwaspada

Patients are treated in makeshift tents outside the Ben Mboi Manggarai regional hospital in the aftermath of an earthquake, in Ruteng, Manggarai regency, East Nusa Tenggara province, Indonesia, August 17, 2026. REUTERS/Willy Kurniawan
Lebih 9,000 penduduk masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara susulan kebimbangan terhadap keselamatan rumah yang mengalami kerosakan serta gegaran yang masih berlaku. - Foto Reuters
Advertisement

JAKARTA: Dua gempa bumi sederhana kembali menggegarkan perairan sekitar Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur, Indonesia awal Isnin, hanya dua hari selepas wilayah berkenaan dilanda gempa kuat berukuran 7.7 magnitud.

Menurut data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) republik itu, gempa terbaharu berukuran 5.8 magnitud berlaku pada 7.46 pagi waktu tempatan.

Pusat gempa itu dikesan di laut kira-kira 40 kilometer timur laut Nagekeo pada kedalaman 10 kilometer, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan termasuk Nagekeo, Ende, Manggarai, Ngada dan Manggarai Timur.

Beberapa jam sebelumnya, gempa bermagnitud 5.0 turut berlaku pada 12.26 tengah malam, dengan pusat gempa kira-kira 75 kilometer timur laut Ruteng, Manggarai, pada kedalaman 10 kilometer.

BMKG memaklumkan kedua-dua kejadian itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami, namun penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya kekal berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya gempa susulan.

Gempa terbaharu itu berlaku selepas gegaran kuat bermagnitud 7.7 melanda perairan sekitar Flores pada awal Sabtu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 53 orang maut dan 135 lagi cedera.

Bencana itu turut menyebabkan kerosakan pada sejumlah bangunan serta menjejaskan beberapa kawasan di Nusa Tenggara Timur, sekali gus mendorong penduduk mendapatkan perlindungan di lokasi lebih selamat.

Sementara itu, Timbalan Pencegahan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, sebanyak 995 gempa susulan direkodkan BMKG sehingga 3 petang Ahad, namun hanya sebahagian kecil daripadanya dirasai penduduk.

Sementara itu, seramai 9,290 penduduk masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara setakat tengah malam Sabtu susulan kebimbangan terhadap keselamatan rumah yang mengalami kerosakan serta gegaran yang masih berlaku.

Keadaan itu turut dipengaruhi trauma akibat tragedi gempa bumi dan tsunami Flores pada 1992, menyebabkan sebahagian penduduk memilih untuk terus berada di pusat pemindahan sehingga keadaan benar-benar selamat. -- Agensi

Must Watch Video

Advertisement