Skip to main content

Dunia

Dua kematian pertama dikaitkan dengan wabak cyclospora di AS

This image made from video shows bins of lettuce heads on a conveyor belt as Salad Days employees box them for distribution Friday, July 31, 2026, in Flora, Miss. (AP Photo/Sophie Bates)
Gambar yang dirakam daripada rakaman video menunjukkan bekas berisi kepala daun salad di atas tali sawat ketika pekerja Salad Days membungkusnya untuk pengedaran. - Foto AP
Advertisement

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merekodkan dua kematian pertama yang dikaitkan dengan wabak jangkitan parasit cyclospora, penyakit bawaan makanan yang boleh menyebabkan cirit-birit teruk dan dehidrasi.

Pegawai kesihatan Michigan mengesahkan kedua-dua mangsa mempunyai masalah kesihatan sedia ada yang serius, yang dipercayai menjadi lebih buruk akibat jangkitan cyclospora serta dehidrasi.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, hampir 7,000 kes yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan di 45 negeri setakat ini.

Namun, kematian akibat penyakit itu dianggap jarang berlaku kerana jangkitan cyclospora lazimnya tidak mengancam nyawa.

Michigan dikenal pasti sebagai pusat utama wabak berkenaan dengan lebih 11,000 kes direkodkan, termasuk 193 kemasukan ke hospital, walaupun sebahagian besar kes belum disahkan melalui ujian makmal.

Parasit yang menjangkiti usus itu disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar dengan najis.

Wabak sebelum ini pernah dikaitkan dengan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang diairi menggunakan air tercemar.

Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan orang ramai mencuci semua hasil pertanian di bawah air mengalir sebelum dimakan.

Bagaimanapun, CDC menjelaskan pencucian sahaja mungkin tidak mencukupi dan mengesyorkan makanan dimasak pada suhu sekurang-kurangnya 70 darjah Celsius bagi membunuh parasit berkenaan.

Pegawai kesihatan turut mengaitkan wabak tahun ini dengan bekalan daun salad yang diimport dari Mexico melalui syarikat Taylor Farms, antara pembekal utama kepada premis makanan di AS.

Rangkaian makanan segera Taco Bell dilaporkan telah menghentikan penggunaan daun salad daripada pembekal tersebut, manakala Taylor Farms melaksanakan penarikan balik produk secara sukarela.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan United Kingdom turut mengeluarkan amaran susulan beberapa kes yang dikesan dalam kalangan pelancong yang baru pulang dari luar negara.

 

 

Must Watch Video

Advertisement