DUNIA
Dua lagi kapal sertai flotila bantuan ke Gaza, jumlah meningkat kepada 11

Antara kapal utama ialah "Kapal Doktor dan Wartawan" atau 'al-Damir (Conscience)', sebuah kapal besar yang membawa doktor serta wartawan antarabangsa dari seluruh dunia. - Gambar fail/Reuters
ANKARA: Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Sekatan Gaza pada Sabtu mengumumkan dua lagi kapal menyertai gelombang terbaharu misi "Freedom Flotilla Coalition" bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan kapal sebanyak 11, selepas Israel menyerang Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa.
Ringkasan AI
- Dua kapal baharu sertai misi Freedom Flotilla Coalition iaitu Ghassan Kanafani dan al-Awda, menjadikan keseluruhan 11 kapal membawa kira-kira 170 aktivis menuju Gaza.
- Flotila kini berada di utara Marsa Matruh, Mesir selepas melepasi Crete, dengan kapal utama al-Damir membawa doktor dan wartawan antarabangsa untuk mencabar sekatan Israel dan salurkan bantuan kemanusiaan.
- Israel sebelum ini serang Global Sumud Flotilla dan menahan lebih 470 aktivis dari 50 negara; rangkaian ini terus berusaha memecahkan sekatan Gaza sejak 2010.
Antara kapal utama ialah "Kapal Doktor dan Wartawan" atau 'al-Damir (Conscience)', sebuah kapal besar yang membawa doktor serta wartawan antarabangsa dari seluruh dunia.
"Kami tidak akan meninggalkan Gaza bersendirian," tegas jawatankuasa itu, sambil menekankan bahawa kapal-kapal terbabit bertujuan mencabar sekatan Israel dan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
"Freedom Flotilla Coalition", sebuah rangkaian kumpulan masyarakat sivil antarabangsa telah menganjurkan pelbagai percubaan sejak 2010 untuk memecahkan sekatan Gaza dan mengetengahkan krisis kemanusiaan yang berlaku.
Pada Khamis lalu, tentera laut Israel menyerang serta merampas kapal-kapal yang menyertai Global Sumud Flotilla serta menahan lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami