TOKYO: Dua pesawat Japan Airlines (JAL) dilapor berlanggar di terminal Lapangan Terbang Haneda mengakibatkan penerbangan terpaksa dibatalkan pada Khamis. 

Syarikat penerbangan JAL dalam kenyataan berkata hujung sayap kiri pesawat penerbangan 503 membawa 328 penumpang dan anak kapal itu dilapor melanggar hujung sayap kanan pesawat JAL lain di Terminal 1 kira-kira jam 7.30 pagi.

Kedua-dua pesawat merupakan keluaran Airbus A350-900, tulis kenyataan itu lagi.

Tiada kecederaan dilaporkan, namun penerbangan 503 menuju ke Lapangan Terbang Chitose Baru di Hokkaido, Sapporo telah dibatalkan.

Ketika kejadian, penerbangan 503 dilapor mengundur dari petak pesawat di Terminal 1 apabila sayap kirinya melanggar sayap kanan pesawat lain yang sedang bergerak ke hadapan menuju ke petak bersebelahan.