Ribut salji ganas melanda timur laut Amerika Syarikat sejak Sabtu, membunuh sekurang-kurangnya dua orang dalam kejadian yang telah memasuki hari kedua.

Ribut juga telah menyebabkan pengangkutan tergendala serta bekalan api terputus untuk sekurang-kurangnya setengah juta penduduk.

Lebih setengah juta penduduk tanpa bekalan api, termasuk 389,000 di Massachusetts, 177,000 di Rhode Island, dan 35,000 di Connecticut.

Lebih 3,000 penerbangan dibatalkan pada hari Jumaat di mana New York merupakan salah satu hab perjalanan udara yang paling sibuk di dunia turut menerima akibatnya.

Dalam satu kejadian, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita muda hilang kawalan akibat salji di lebuh raya di bandar Poughkeepsie, New York, membunuh seorang lelaki berusia 74-tahun, yang sedang berjalan di bahu jalan.

Di Auburn, New Hampshire pula seorang lelaki maut apabila keretanya hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok.

Sementara itu, beberapa kecederaan ringan juga dilaporkan di Falmouth, Maine apabila 19 kenderaan terlibat dalam satu kemalangan sekaligus.