Skip to main content
Advertisement

Dunia

Dua wanita didakwa bunuh wanita di Johannesburg, polis siasat lapan lagi penemuan mayat

Court employees stand at the entrance of the Boksburg Magistrate's Court, where two women, among three suspects arrested over the weekend, appeared in connection with the death of a woman whose body was found east of Johannesburg last week, amid renewed public concern over gender-based violence, in Boksburg, east of Johannesburg, South Africa, September 21, 2026. REUTERS
Kakitangan mahkamah berdiri di pintu masuk Mahkamah Majistret Boksburg, tempat dua wanita yang merupakan antara tiga suspek ditahan hujung minggu lalu hadir bagi menghadapi prosiding berkaitan kematian seorang wanita. - Foto REUTERS
Advertisement

JOHANNESBURG: Dua wanita didakwa atas tuduhan membunuh seorang wanita di kawasan timur Johannesburg, Afrika Selatan, ketika pihak polis meneruskan siasatan terhadap lapan lagi penemuan mayat yang mencetuskan kebimbangan baharu mengenai keganasan berasaskan gender di negara itu.

Polis menyifatkan penahanan kedua-dua suspek sebagai satu "perkembangan penting" dalam usaha menyelesaikan siri kes pembunuhan yang menyaksikan beberapa mayat mangsa ditemukan ditinggalkan di tepi jalan.

Pemangku Ketua Polis Afrika Selatan, Leftenan Jeneral Puleng Dimpane, berkata pasukan penyiasat sedang bekerja tanpa henti bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Menurut beliau, kedua-dua wanita itu didakwa atas kesalahan membunuh secara terancang serta menghalang proses keadilan.

Seorang lelaki yang turut ditahan sebelum ini bagaimanapun telah dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan.

Kes berkenaan melibatkan kematian Jabulile Ntimba, yang mayatnya ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan dibalut dengan cadar di kawasan Dawn Park pada Khamis lalu.

Beberapa mangsa lain yang ditemukan dalam siri kes berkenaan turut dilaporkan berada dalam keadaan berpakaian tidak lengkap dan mempunyai kesan kecederaan.

Bagaimanapun, polis menegaskan masih belum dapat memastikan sama ada semua kematian tersebut mempunyai kaitan antara satu sama lain atau melibatkan pelaku yang sama.

Timbalan Ketua Polis, Leftenan Jeneral Tebello Mosikili, berkata sekumpulan penganalisis sedang meneliti kemungkinan wujud hubungan antara kes-kes tersebut.

Beliau berkata siasatan awal terhadap kematian Ntimba menunjukkan ia berkemungkinan berpunca daripada konflik hubungan peribadi, termasuk kemungkinan melibatkan cinta tiga segi.

Penemuan sembilan mayat wanita dalam tempoh singkat telah mencetuskan kemarahan orang ramai dan menghidupkan semula perdebatan mengenai tahap keganasan terhadap wanita di Afrika Selatan.

Negara itu sememangnya berdepan kadar keganasan berasaskan gender yang antara tertinggi di dunia, selain mempunyai kadar pembunuhan yang tinggi.

Walaupun statistik rasmi tidak mengasingkan mangsa mengikut jantina, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Afrika Selatan sebelum ini menganggarkan purata enam wanita dibunuh setiap hari antara April hingga Jun tahun ini.

Gelombang kes pembunuhan terbaharu itu turut meningkatkan kebimbangan dalam kalangan wanita mengenai tahap keselamatan mereka, selain mendorong desakan agar pihak berkuasa memperkukuh usaha menangani jenayah berasaskan gender di negara berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement