Skip to main content

Dunia

Tiga anggota tentera El Salvador maut ketika operasi di Haiti

Haiti berdepan krisis keselamatan yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu apabila kumpulan geng bersenjata menguasai sebahagian besar ibu negara, Port-au-Prince, serta kawasan sekitarnya. - Foto REUTERS
Haiti berdepan krisis keselamatan yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu apabila kumpulan geng bersenjata menguasai sebahagian besar ibu negara, Port-au-Prince, serta kawasan sekitarnya. - Foto REUTERS
Advertisement

SAN SALVADOR: Tiga anggota tentera El Salvador terbunuh ketika mengendalikan bahan letupan dalam misi keselamatan di Haiti, menjadikan mereka kematian rasmi pertama sejak negara itu menghantar lebih 2,000 anggota ke negara Caribbean berkenaan bulan lalu.

Menurut Reuters, seorang lagi anggota yang cedera meninggal dunia ketika menerima rawatan di Republik Dominican, manakala seorang anggota lain dilaporkan stabil.

Tentera El Salvador bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi kejadian atau jenis bahan letupan yang terlibat dalam insiden tersebut.

Advertisement

Presiden El Salvador, Nayib Bukele, menghantar ribuan anggota tentera ke Haiti selepas empat warga negaranya yang menyertai misi disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan hilang pada Oktober lalu.

Operasi berkenaan bertujuan menjejak dan menyelamatkan anggota yang hilang, selain membantu mengekang kegiatan kumpulan jenayah bersenjata yang menguasai beberapa kawasan di negara itu.

Advertisement

Reuters melaporkan kerajaan Haiti sejak tahun lalu mempergiat operasi membanteras kumpulan geng, termasuk menggunakan dron yang membawa bahan letupan.

Namun, pendekatan itu mengundang kritikan pertubuhan hak asasi manusia kerana didakwa meningkatkan risiko kepada penduduk awam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 87 orang awam, termasuk 21 kanak-kanak, terbunuh dalam operasi udara yang dijalankan setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Keselamatan dan Kehakiman Haiti, Patrick Pelissier, mengumumkan negaranya mencapai persetujuan dengan sebuah syarikat dari El Salvador untuk membina tiga penjara baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem keselamatan negara itu.

Haiti berdepan krisis keselamatan yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu apabila kumpulan geng bersenjata menguasai sebahagian besar ibu negara, Port-au-Prince, serta kawasan sekitarnya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement