HANOI: Eksport durian Vietnam ke China melalui saluran rasmi sejak September 2022 membuka prospek baharu bagi industri buah-buahan.

Menurut perangkaan Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (MARD), Vietnam mempunyai lebih 100,000 hektar durian dengan pengeluaran tahunan kira-kira 1.3 juta tan.

Bagaimanapun, hanya 3,000 hektar (tiga peratus) daripada jumlah itu memenuhi piawaian untuk dieksport ke China.

Wilayah Delta Mekong Tien Giang dan wilayah Tanah Tinggi Tengah Dak Lak mempunyai kawasan penanaman durian terbesar yang memenuhi standard eksport di negara ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Syarikat Eksport Import Dung Thai Son, Vu Ngoc Huy, China merupakan pasaran besar dengan kapasiti penggunaan durian yang kukuh.

Firma itu boleh mengeksport 500,000 tan durian segar setahun, menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah pengeluaran durian negara, kata Huy.

Untuk mempromosikan eksport produk ke pasaran yang kukuh ini, Hoang Trung, Pengarah Jabatan Perlindungan Tumbuhan MARD, mengesyorkan agar perusahaan dan petani mesti sentiasa mengemas kini dan mematuhi peraturan mengenai standard kualiti, ujian, kuarantin, pembungkusan dan kebolehkesanan pasaran China.

Pihak berkuasa kastam China telah meluluskan 51 kod kawasan pertanian Vietnam dan 26 kod kemudahan pembungkusan yang memenuhi sepenuhnya keperluan untuk eksport ke pasaran China, kata Trung.

MARD telah meminta pihak berkuasa kawasan selatan untuk meningkatkan kualiti rantaian nilai durian, ke arah memenuhi piawaian untuk mengeksport buah itu, kata Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Le Minh Hoan.

Agensi khusus telah ditugaskan untuk mengenal pasti kawasan di mana durian boleh ditanam secara mampan, manakala kerajaan tempatan digesa mempunyai dasar untuk meningkatkan hubungan antara petani dan perusahaan eksport.

--BERNAMA-VNA