Ringkasan AI
- Pemimpin pembangkang Israel, Gadi Eisenkot, menggesa siasatan segera terhadap dakwaan campur tangan dalam pilihan raya dan mempertikai kelayakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
- Laporan mendakwa ketua kakitangan Netanyahu membuat aduan polis terhadap ahli parti Ra'am, namun siasatan mendapati dakwaan rasuah undi tidak berasas.
- Ketua Shin Bet didakwa memohon memantau komunikasi anggota Knesset Arab-Palestin, tetapi permohonan itu ditolak, dan kedua-dua pihak gagal capai majoriti membentuk kerajaan baharu.
TEL AVIV: Pemimpin pembangkang Israel, Gadi Eisenkot, menggesa siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan campur tangan dalam pilihan raya baru-baru ini sambil menegaskan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak lagi layak memimpin kerajaan.
Menurut laporan Al Jazeera, Eisenkot pada Ahad mendakwa tindakan Netanyahu dan kumpulan rapatnya menimbulkan ancaman langsung terhadap sistem demokrasi Israel.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan penyiar Channel 12 yang mendakwa ketua kakitangan Netanyahu, Ido Norden, telah mengemukakan aduan kepada pihak polis menjelang pilihan raya 27 Oktober lalu terhadap beberapa ahli parti United Arab List (Ra'am).
Laporan itu mendakwa maklumat yang diberikan oleh seorang sumber perisikan membawa kepada serbuan polis ke atas kediaman tiga anggota Ra'am dan penahanan mereka atas syak wasangka rasuah berkaitan undi.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dibebaskan selepas polis mendapati dakwaan tersebut tidak berasas.
Channel 12 turut mendakwa ketua agensi keselamatan dalam negeri Shin Bet, David Zini, pernah memohon kebenaran untuk memantau komunikasi lima anggota Knesset Arab-Palestin pada hari pengundian atas syak wasangka campur tangan pilihan raya, namun permohonan itu ditolak.
"Saya menyeru siasatan segera dijalankan dan pihak polis serta Shin Bet menjelaskan segala dakwaan yang telah diterbitkan," kata Eisenkot, bekas ketua tentera Israel.
Parti Likud pimpinan Netanyahu pula menyifatkan kenyataan Eisenkot sebagai cubaan menghasut terhadap perdana menteri itu.
Beberapa hari sebelum ini, Eisenkot turut menuduh Netanyahu mengapi-apikan sentimen perkauman terhadap warga Palestin berketurunan Israel sepanjang kempen pilihan raya bagi mengekalkan kuasa politiknya.
Walaupun kedua-dua kem sedang mengadakan rundingan mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan, Eisenkot dan Netanyahu masih gagal memperoleh majoriti 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu, menurut Al Jazeera.