Skip to main content

Sukan

Hamilton gesa F1 percepat usaha buka peluang kerjaya kepada golongan muda

Lewis Hamilton menggesa sukan permotoran itu bertindak lebih agresif dan pantas dalam mewujudkan peluang kerjaya untuk golongan muda selepas yayasannya menerbitkan laporan yang memberi amaran F1 berisiko kehilangan bakat kejuruteraan dan teknikal. - Gambar fail/ Reuters
Lewis Hamilton menggesa sukan permotoran itu bertindak lebih agresif dan pantas dalam mewujudkan peluang kerjaya untuk golongan muda selepas yayasannya menerbitkan laporan yang memberi amaran F1 berisiko kehilangan bakat kejuruteraan dan teknikal. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

LONDON: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton menggesa sukan permotoran itu bertindak lebih agresif dan pantas dalam mewujudkan peluang kerjaya untuk golongan muda selepas yayasannya menerbitkan laporan yang memberi amaran F1 berisiko kehilangan bakat kejuruteraan dan teknikal.

Menerusi laporan bertajuk Igniting Inclusion yang diterbitkan pada Isnin, yayasan Mission 44 yang diasaskan Hamilton menggesa Formula Satu melabur sekurang-kurangnya £50 juta dalam tempoh lima tahun bagi membantu golongan muda daripada latar belakang kurang diwakili mendapatkan laluan ke kerjaya dalam bidang sukan permotoran.

Laporan itu turut mencadangkan Formula Satu menerbitkan data berkaitan kemasukan, pemberhentian dan kenaikan pangkat tenaga kerja dalam sukan itu berdasarkan jantina, etnik serta latar belakang sosioekonomi.

Advertisement

Selain itu, pasukan-pasukan F1 disaran mendedahkan jumlah jawatan bergaji yang ditawarkan kepada bakat baharu bagi memastikan peluang pekerjaan peringkat awal lebih mudah diakses.

"Formula Satu memberi inspirasi kepada jutaan anak muda di seluruh dunia. Namun inspirasi tidak bermakna tanpa peluang," kata Hamilton yang kini bersama Ferrari dalam satu kenyataan.

Advertisement

"Kita tidak boleh meminta golongan muda memasang impian besar tetapi menutup pintu apabila mereka cuba merealisasikan impian tersebut.

"F1, FIA dan setiap pasukan perlu berusaha dengan lebih gigih serta bergerak lebih pantas.

"Kita memerlukan pelaburan sebenar, lebih banyak peluang dan tahap akauntabiliti yang lebih tinggi," katanya.

Reuters telah mendapatkan maklum balas daripada FIA selaku badan pentadbir sukan itu dan Formula Satu berhubung cadangan berkenaan.

Bulan lalu, Formula Satu menerbitkan laporan impak sosial pertamanya yang merangkumi keseluruhan sukan itu. 

Laporan tersebut menyatakan seramai 500,000 golongan muda di 71 negara mendapat manfaat daripada program pendidikan dan pembangunan yang dijalankan sepanjang 2025.

Formula Satu turut memperbaharui program biasiswa kejuruteraannya dengan memperuntukkan dana sebanyak £2.4 juta bagi tempoh tiga tahun.

Sebagai sebahagian daripada penyelidikannya, Mission 44 memaklumkan ia menjalankan tinjauan melibatkan kira-kira 3,000 peminat Formula Satu di Britain, Amerika Syarikat dan Brazil.

Mission 44 merupakan badan amal yang ditubuhkan Hamilton pada 2021 bagi membantu golongan muda meningkatkan akses kepada pendidikan dan peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor yang menawarkan pertumbuhan kerjaya jangka panjang. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement