Ringkasan AI
- Miguel Angel Felix Gallardo, pengasas kartel Guadalajara dan tokoh utama pemerdagangan dadah moden Mexico, meninggal dunia pada usia 80 tahun akibat kegagalan pelbagai organ.
- Felix Gallardo dipenjarakan sejak 1989 atas kesalahan pengedaran dadah, pemilikan senjata, serta pembunuhan ejen DEA Amerika Syarikat, Enrique Camarena.
- Pengaruhnya membentuk struktur perdagangan dadah rentas sempadan, mencetuskan perebutan wilayah antara kartel dan gelombang keganasan di Mexico sejak beberapa dekad lalu.
MEXICO CITY: Miguel Angel Felix Gallardo, pengasas kartel Guadalajara yang dianggap antara tokoh utama dalam pembentukan rangkaian pemerdagangan dadah moden di Mexico, meninggal dunia pada usia 80 tahun selepas mengalami kegagalan pelbagai organ.
Menurut pihak berkuasa keselamatan tempatan, Felix Gallardo dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Guadalajara dua hari sebelum kematiannya dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2 petang Ahad.
Felix Gallardo dipenjarakan sejak 1989 dan menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan pengedaran dadah serta pemilikan senjata.
Dia turut disabitkan dalam kes penculikan dan pembunuhan ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA), Enrique "Kiki" Camarena, pada 1985, kes yang mencetuskan ketegangan diplomatik antara Mexico dan Amerika Syarikat.
Menurut laporan Al Jazeera, Felix Gallardo muncul sebagai figura berpengaruh dalam dunia jenayah terancang pada era 1970-an apabila membantu membina kartel Guadalajara menjadi antara rangkaian pengedaran kokain terbesar ke Amerika Syarikat.
Dia juga dikatakan menjalin kerjasama dengan sindiket Colombia, termasuk kartel Medellin yang dikaitkan dengan Pablo Escobar.
Dilahirkan di Culiacan, negeri Sinaloa, Felix Gallardo pernah berkhidmat sebagai anggota polis sebelum dikenali sebagai ketua kartel yang digelar "boss of bosses".
Pengaruhnya membantu membentuk struktur perdagangan dadah rentas sempadan yang kemudian mencetuskan perebutan wilayah antara kartel, sekali gus menyumbang kepada gelombang keganasan yang meragut ratusan ribu nyawa di Mexico sejak beberapa dekad lalu.
Walaupun dipenjarakan, pertempuran undang-undangnya berlanjutan selama bertahun-tahun.
Pada 2017, mahkamah persekutuan menjatuhkan hukuman tambahan 37 tahun penjara berhubung kes pembunuhan Camarena dan juruterbang Mexico, Alfredo Zavala Avelar.
Felix Gallardo bagaimanapun menafikan penglibatannya.
Kejatuhan dan kebangkitannya turut diabadikan menerusi siri popular Netflix Narcos: Mexico pada 2018.
Menurut Al Jazeera, keadaan kesihatan Felix Gallardo merosot dalam tahun-tahun terakhir hayatnya.
Ketika ditemu bual di penjara pada 2021, dia dilaporkan buta sebelah mata, hampir pekak dan tidak lagi mampu berjalan tanpa bantuan, namun terus mempertahankan dirinya daripada semua tuduhan.