IPOH: Sejumlah 10 guru serta seorang pelajar yang terkandas akibat banjir dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang di Taiping dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
APM Daerah Larut, Matang dan Selama dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa merupakan penduduk sekitar kawasan Simpang yang terjejas akibat bencana itu yang melanda kawasan mereka sejak semalam.
"Setakat ini 10 guru dan seorang pelajar telah dibawa ke sekolah dan masih ada lagi perjalanan untuk menghantar guru atau pelajar ke sekolah masing-masing dari semasa ke semasa.
"Pihak APM mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk menghantar mereka disebabkan laluan jalan ke sekolah tersebut dinaiki air dan kenderaan ringan tidak boleh melalui kawasan tersebut," menurut kenyataan itu
Situasi banjir di daerah tersebut semakin memburuk dengan 911 mangsa banjir ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama, manakala 13 mangsa berlindung di PPS SK Bukit Merah di daerah Kerian.
-- BERNAMA