PENGASAS Tesla dan SpaceX, Elon Musk mencabar Presiden Rusia, Vladimir Putin dengan Ukraine sebagai taruhan.

Ia susulan peperangan yang dimulakan Rusia terhadap Ukraine.

Musk menerusi perkongsian di akaun Twitter miliknya mencabar pemimpin Rusia itu untuk menguji keberaniannya secara peribadi dan bukan melalui anggota tentera mereka.

“Saya dengan ini mencabar Vladimir Putin untuk bertarung secara tunggal. Pertaruhannya adalah Ukraine,” katanya di Twitter.


Pada masa sama, Musk turut menyoal Putin sama ada beliau terima taruhan tersebut.

Bagaimanapun, tiada jawapan balas dari pihak Rusia.

Sebelum ini, Musk secara terbuka menyuarakan sokongan beliau terhadap Ukraine dengan menyelar tindakan Rusia terhadap negara itu.

Malah, Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Mykhailo Fedorovber menyatakan penghargaannya kepada bilionair itu kerana menghantar terminal satelit Starlink ke Ukraine yang kini sedang bergolak selepas diserang Rusia.

Beliau menyatakan penghargaan itu selepas terminal Starlink itu akan digunakan bagi membolehkan perkhidmatan internet di negara itu yang terganggu disebabkan oleh pencerobohan Rusia berfungsi dengan baik.