BILIONAIR Elon Musk menamakan Linda Yaccarino sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Twitter,  hanya lebih daripada enam bulan selepas pengambilalihan kontroversi beliau terhadap syarikat platform media sosial tersebut, lapor portal berita BBC.

Menurut Musk, Yaccarino yang juga bekas ketua bahagian pengiklanan di konglomerat media terkemuka Amerika Syarikat (AS), NBCUniversal itu akan mengawasi operasi perniagaan di laman web tersebut yang sedang bergelut menjana keuntungan.

Kata Musk, Yaccarino akan memulakan tugasnya dalam tempoh enam minggu.

Sementara Musk pula akan memberi tumpuan pada tugasnya sebagai Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi.

"Menunggu peluang untuk bekerjasama dengan Linda untuk mengubah platform ini menjadi X, aplikasi segala-galanya," tulis Musk dalam hantarannya di Twitter, mengesahkan keputusan tersebut sehari selepas beliau mencetuskan spekulasi dengan berkongsi berita telah menemui bos baharu Twitter tanpa mendedahkan identiti personaliti itu.


Musk yang membeli Twitter tahun lalu pada harga AS$44 bilion berhadapan dengan tekanan untuk mencari seseorang yang lain untuk memimpin syarikat itu bagi membolehkannya memberi tumpuan pada perniagaan-perniagaan beliau yang lain termasuk pengeluaran kereta elektrik Tesla serta syarikat kapal angkasa, SpaceX.

Yaccarino merupakan graduan dari Pennsylvania State University yang pernah berkhidmat di Turner Entertainment selama 15 tahun sebelum menyertai NBCUniversal.

Bersama NBCUniversal, beliau mengawasi kira-kira 2,000 orang dan terlibat dalam pelancaran perkhidmatan penyiaran dalam talian organisasi media itu.

Kerja Yaccarino digambarkan sebagai individu yang bekerjasama rapat dengan jenama-jenama besar untuk mencari peluang menempatkan dan meyakinkan jenama-jenama itu untuk mengiklankan produk-produk mereka di program televisyen termasuk bersama program popular Sex and the City ketika pertama kali dilancarkan.

Profil pada tahun 2005 dalam sebuah penerbitan industri pula memberi gambaran beliau sebagai seorang ibu yang sibuk yang berkahwin serta mempunyai dua orang anak, ketika itu berumur 13 dan 9 tahun.

"Saya benar-benar tidak mempunyai hobi," katanya ketika itu.