Skip to main content

Dunia

Emirates SkyCargo angkut satelit Altair-1 dari Dubai ke AS

[TB]_Emirates SkyCargo transports_X @DXBMediaOffice
Satelit yang diangkut oleh Emirates SkyCargo itu merupakan yang pertama daripada 10 satelit yang bakal membentuk buruj Altair. - Foto X/@DXBMediaOffice
Advertisement

DUBAI: Emirates SkyCargo telah menyempurnakan penghantaran Altair-1, satelit pencerapan bumi komersial pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Altair-1 diterbangkan menggunakan pesawat kargo Boeing 777 milik Emirates SkyCargo dari lapangan terbang Dubai (DWC) ke Los Angeles (LAX) menjelang peluncurannya yang dijadualkan pada Oktober 2026.

Sebagai sebahagian daripada buruj Altair milik Orbitworks, pemindahan satelit berkenaan menandakan satu pencapaian bersejarah dalam visi UAE untuk menjadi antara pemimpin global dalam bidang angkasa lepas dan teknologi maju.

Altair ialah buruj satelit pelbagai sensor yang dibangunkan dan dikilangkan di UAE oleh Orbitworks. Sistem ini dilengkapi dengan keupayaan penderiaan optik, inframerah, terma dan RF serta pemprosesan AI terbina dalam.

Satelit yang diangkut oleh Emirates SkyCargo itu merupakan yang pertama daripada 10 satelit yang bakal membentuk buruj Altair.

Pengangkutan Altair ini menyerlahkan kepakaran Emirates SkyCargo dalam mengendalikan kargo bernilai tinggi dan sensitif di bawah bahagian Aeroangkasa dan Kejuruteraannya.

Naib Presiden Kanan Divisyen di Emirates SkyCargo, Badr Abbas berkata: "Mengangkut kargo yang sangat sensitif dan canggih dari segi teknologi memerlukan ketepatan dan kepakaran, dan kami berada di posisi terbaik menerusi pengalaman mendalam berdekad-dekad untuk menyokong misi penting ini."

Emirates SkyCargo sebelum ini pernah mengangkut Arab Satellite 813 dan Khalifasat. Pada 2026, syarikat penerbangan kargo itu telah mengendalikan lebih 6,000 tan kargo aeroangkasa dan kejuruteraan termaju di seluruh dunia.

-- BERNAMA-WAM

 

 

Must Watch Video

Advertisement