WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan empat individu terbunuh dalam serangan terhadap sebuah kapal di Laut Caribbean, dalam operasi terbaharu yang menurut Washington menyasarkan kumpulan terlibat dalam penyeludupan dadah.
Menurut Komando Selatan AS (SOUTHCOM), serangan itu dilancarkan selepas risikan mengesahkan kapal berkenaan terlibat secara aktif dalam kegiatan pengedaran narkotik.
“Risikan yang disahkan mendedahkan penglibatan aktif kapal itu dalam penyeludupan dadah. Operasi tersebut mengorbankan empat pengganas narkotik,” menurut SOUTHCOM dalam satu hantaran di platform X.
Bagaimanapun, pihak tentera tidak mendedahkan identiti mereka yang terbunuh atau lokasi tepat operasi itu, selain memaklumkan kapal berkenaan sedang beroperasi di laluan yang lazim digunakan untuk aktiviti penyeludupan dadah di Caribbean.
Pentadbiran Presiden Donald Trump telah melancarkan siri serangan terhadap kapal yang didakwa membawa dadah sejak September 2025, sebagai sebahagian daripada usaha Washington membanteras aktiviti penyeludupan narkotik rentas sempadan.
Menurut data tentera AS, serangan terhadap kapal-kapal yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah di Caribbean dan timur Lautan Pasifik telah mengorbankan lebih 210 orang setakat ini.
Bagaimanapun, operasi berkenaan terus menerima kritikan daripada pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa.
Human Rights Watch (HRW), Amnesty International dan beberapa pakar bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan serangan itu sebagai pembunuhan di luar proses perundangan serta melanggar undang-undang antarabangsa.
Mereka berhujah bahawa tindakan ketenteraan terhadap individu yang disyaki terlibat dalam jenayah tidak boleh menggantikan proses tangkapan, pendakwaan dan perbicaraan yang sewajarnya.
Pada Isnin, tentera AS turut memaklumkan dua individu terbunuh dalam satu lagi serangan terhadap sebuah kapal di timur Lautan Pasifik pada hujung minggu lalu.
Serangan itu merupakan yang pertama dilaporkan dalam tempoh lebih dua bulan, sekali gus menandakan kesinambungan kempen ketenteraan Washington terhadap rangkaian penyeludupan dadah di rantau berkenaan.
Pentadbiran Trump sebelum ini mempertahankan pendekatan tersebut dengan menyatakan ia perlu bagi mengekang aliran narkotik yang mengancam keselamatan dan kesihatan awam di AS, namun pengkritik terus mempersoalkan aspek perundangan serta akauntabiliti operasi berkenaan.