MEXICO CITY: Enam orang maut selepas berlaku kebocoran gas di dalam sebuah kenderaan pengangkutan awam yang terkandas akibat banjir di Tultitlán, Mexico pada malam Ahad, menurut laporan media tempatan pada Isnin, lapor Xinhua.
Tiga individu ditemukan maut di dalam kenderaan itu, manakala tiga lagi berjaya keluar dan berjalan meninggalkan kenderaan berkenaan sebelum rebah beberapa meter kemudian di atas jalan, dipercayai selepas terhidu gas.
Mangsa terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita, manakala mayat mereka dibawa ke perkhidmatan forensik untuk tindakan lanjut.
Bas mini yang dikenali di Mexico sebagai “combi” beroperasi di Laluan 30, yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan Indios Verdes di utara Mexico City.
Satu daripada kemungkinan awal yang sedang disiasat ialah kenderaan yang menggunakan gas sebagai bahan api itu mungkin terlanggar halangan ketika cuba meredah kawasan dinaiki air, menyebabkan tangki gasnya rosak dan berlaku kebocoran.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca sebenar kejadian.
Hujan lebat pada Ahad menyebabkan banjir dan gangguan trafik di beberapa perbandaran di Negeri Mexico, termasuk Tultitlán, Tlalnepantla, Cuautitlán dan Ecatepec.
-- BERNAMA-XINHUA