Ringkasan AI
- Cadangan agar jajaran Iskandar Puteri dimasukkan dalam projek e-ART dikemukakan kerana kepentingannya dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Zon Kewangan Khas.
- Setakat ini, jajaran Iskandar Puteri tidak termasuk dalam perancangan e-ART, dengan Skudai dan Tebrau diberi keutamaan oleh kerajaan negeri.
- Kerajaan negeri turut digesa mempertimbangkan Skim Perumahan Sewa Mampu Milik Johor khusus untuk penjawat awam dan isi rumah berpendapatan pertengahan.
ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan projek sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) perlu melibatkan jajaran di Iskandar Puteri kerana kepentingan besar kawasan itu dalam agenda pembangunan negeri, khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City.
Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) berkata Iskandar Puteri turut menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri, pembangunan komersial, perumahan serta kawasan strategik termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini jajaran Iskandar Puteri tidak berada dalam cadangan pembangunan e-ART terkini, sekali gus berharap agar perkara itu dinilai semula.
Pandak berkata perkhidmatan bagi Komuter Selatan juga setakat ini belum menyediakan ketersambungan rel ke Iskandar Puteri, meskipun terdapat jaringan rel sedia ada hingga ke kawasan PTP.
"Jaringan rel sedia ada (di Iskandar Puteri) perlu dimanfaatkan bagi menyokong pertumbuhan kawasan ini," katanya ketika membahaskan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Pandak berkata perkara berkenaan perlu diambil perhatian kerajaan negeri, sekali gus berharap agar projek e-ART dipercepat.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan jaringan pengangkutan awam di Johor lebih menyeluruh dan bersepadu menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada Februari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh sebelum ini dilaporkan berkata jajaran Skudai dan Tebrau diberi keutamaan dalam cadangan pelaksanaan e-ART, berbanding jajaran Iskandar Puteri.
Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri pada asalnya mencadangkan tiga jajaran tersebut termasuk Iskandar Puteri, namun perlu menentukan keutamaan kerana projek berkenaan masih belum bermula.
Sementara itu, J. Kartiyaini (PH-Skudai) menggesa kerajaan negeri supaya mempertimbangkan pelaksanaan Skim Perumahan Sewa Mampu Milik Johor khusus untuk penjawat awam dan isi rumah berpendapatan pertengahan yang berkhidmat di negeri ini.
Beliau berkata skim itu penting sebagai penyelesaian jangka panjang berikutan kadar sewaan di pasaran terbuka, khususnya di kawasan Greater Johor Bahru, yang semakin tinggi dan membebankan.
"Penjawat awam seperti guru, doktor, jururawat dan anggota polis yang ditempatkan di Johor sering tidak layak memohon Program Perumahan Rakyat (PPR), manakala membeli rumah juga bukan pilihan yang praktikal kerana mereka mungkin dipindahkan selepas beberapa tahun atau bulan.
"Ada juga yang tidak mampu beli rumah, sebab slip gaji tidak ‘cantik’. Akibatnya, mereka terpaksa menyewa di pasaran terbuka. Sebagai gambaran, kadar sewa studio di Johor Bahru boleh mencecah kira-kira RM1,800 sebulan, bergantung pada lokasi dan kemudahan," katanya.
Beliau berkata dasar perumahan negeri perlu menyokong agenda pembangunan ekonomi bagi memastikan jurutera, juruteknik dan pekerja mahir rakyat Malaysia mampu tinggal serta bekerja di Johor.
Justeru, beliau mencadangkan skim tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemaju swasta dengan menyediakan unit sewaan berhampiran hospital, sekolah dan kawasan perindustrian pada kadar sewa munasabah.
-- BERNAMA