Ringkasan AI
- Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perbezaan politik dalam kalangan parti kerajaan tidak menjejaskan pentadbiran negara.
- Beliau berkata pemimpin parti mampu mengetepikan perbezaan demi melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara secara profesional.
- Ahmad Zahid kini berada di Indonesia untuk lawatan kerja lima hari yang melibatkan agenda di Bali dan Jakarta.
BALI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perbezaan pendirian politik dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan tidak menjejaskan pentadbiran negara.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata kematangan politik membolehkan pemimpin parti mengetepikan perbezaan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara.
“Apabila mengurus kerajaan, kita ketepikan perbezaan-perbezaan itu dan apabila kita membincangkan perkara-perkara yang terkait dengan isu nasional, kita sangat profesional dan tidak sekalipun ada perbezaan pendapat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Konvensyen Nasional 2026 Amanah pada Ahad lepas yang meluluskan usul supaya parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 tanpa kerjasama BN selepas mendapat sokongan hampir kesemua perwakilan.
Bagaimanapun, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketetapan itu adalah saranan parti yang akan dibawa ke Majlis Presiden PH, dengan keputusan muktamad mengenai kerjasama berkenaan perlu dibuat di peringkat gabungan tersebut.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, tiba di Bali semalam bagi memulakan lawatan kerja lima hari ke Indonesia yang merangkumi beberapa agenda di pulau peranginan itu dan Jakarta.
Beliau dijadual berangkat ke Jakarta hari ini.
-- BERNAMA