EU peruntuk tambahan dana untuk keselamatan dan perlindungan sempadan dalam belanjawan

Perunding dari Parlimen Eropah dan negara anggota berkata mereka telah bersetuju peruntukan sekitar EUR190 bilion dalam belanjawan 2026. - Reuters
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk membelanjakan lebih banyak dana bagi pertahanan dan keselamatan sempadan tahun depan, meskipun jumlah keseluruhan belanjawan adalah sedikit lebih kecil, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perunding dari Parlimen Eropah dan negara anggota berkata mereka telah bersetuju bahawa sekitar EUR190 bilion (AS$220 bilion) boleh diperuntukkan dalam belanjawan 2026.
Negara anggota EU menyatakan bahawa perbelanjaan yang dirancang untuk keselamatan dan pertahanan akan meningkat hampir EUR200 juta (AS$232 juta) kepada EUR2.8 bilion (AS$3.2 bilion).
Sekitar EUR230 juta (AS$267 juta) tambahan - menjadikan jumlah keseluruhan sedikit melebihi EUR5 bilion (AS$5.8 bilion) - diperuntukkan untuk pengurusan migrasi dan sempadan.
Perjanjian itu masih perlu disahkan secara rasmi oleh negara anggota EU dan Parlimen Eropah, namun langkah tersebut dianggap sebagai formaliti.
Keputusan berkenaan adalah berdasarkan cadangan Suruhanjaya Eropah, yang membentangkan belanjawan sebanyak EUR193.26 bilion (AS$224.7 bilion) untuk tahun hadapan pada awal Jun.
Menurut pihak berkuasa Brussels, dana tersebut juga akan digunakan untuk menyokong Ukraine dan meningkatkan daya saing Eropah.
Tahun lalu, negara anggota dan parlimen bersetuju dengan jumlah belanjawan yang sedikit lebih besar, hampir EUR200 bilion (AS$232 bilion) bagi 2025.
Negara anggota sebelum ini berhujah bahawa belanjawan tahun depan sepatutnya ditetapkan pada EUR186.24 bilion (US$216.54 bilion).
Seperti biasa, Parlimen EU mahukan jumlah yang lebih besar dan memasuki rundingan dengan permintaan sebanyak EUR193.9 bilion (AS$225.4 bilion).
Rancangan bagi 2026 merupakan yang keenam di bawah kerangka kewangan berbilang tahunan (MFF) bagi tempoh 2021 hingga 2027. Jumlah keseluruhan belanjawan blok itu adalah sekitar EUR1.1 trilion (AS$1.3 trilion).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


