Skip to main content

Dunia

EU sedia bantuan kemanusiaan AS$526 juta ke Asia Barat

European Union flag flying in front of bright blue sky_Unsplash
Kesatuan Eropah (EU) akan menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai 458 juta euro (AS$526 juta) ke Asia Barat pada 2026.

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) akan menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai 458 juta euro (AS$526 juta) ke Asia Barat pada 2026, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pengumuman Suruhanjaya Eropah.

"Dalam keadaan Asia Barat yang kian musnah akibat peperangan, Kesatuan Eropah tampil ke hadapan ketika pihak lain mula berundur," kata Pesuruhjaya Pengurusan Krisis EU, Hadja Lahbib pada Isnin.

Advertisement

Beliau berkata: "Kami kini merupakan penderma terbesar yang masih menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam beberapa krisis paling meruncing di dunia, sekali gus membantu mereka yang sedang mengharungi detik paling gelap dalam hidup. Kita mesti terus bersama mereka."

Daripada jumlah dana yang tersedia, 210 juta euro akan diperuntukkan kepada penduduk di Syria bagi menampung "bantuan makanan, penjagaan kesihatan, tempat tinggal, air bersih serta pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak bersekolah", menurut suruhanjaya itu.

Berdasarkan data EU, seramai 16.5 juta orang di Syria kini amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Sebanyak 124 juta euro lagi adalah bagi menyokong bantuan makanan, akses kepada penjagaan kesihatan, tempat tinggal, air bersih dan pendidikan di Semenanjung Gaza serta Tebing Barat.

Penduduk di Lubnan pula akan mendapat manfaat daripada sokongan kemanusiaan berjumlah 100 juta euro. 

Minggu lepas, EU mula menghantar bekalan perubatan dan barangan bantuan ke Lubnan bagi menangani krisis kemanusiaan yang sedang berlaku.

Selain itu, 15.5 juta euro diperuntukkan bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan di Jordan, manakala 8 juta euro lagi bagi bantuan di Mesir.

-- BERNAMA-dpa

 

 

 

 

Must Watch Video