BRUSSELS: Kesatuan Eropah akan menyediakan tambahan 400 juta euro (AS$426.8 juta) dalam bantuan bencana kepada Turkiye untuk menangani kesan selepas dua gempa bumi kuat yang melanda negara itu awal tahun ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada 6 Februari, dua gempa bumi besar dan gempa susulan menggegarkan Turkiye tenggara dan Syria utara, meragut nyawa lebih 50,000 orang.

Pembiayaan baharu daripada belanjawan EU diberikan di atas ikrar bantuan sebelum ini.

Pada Mac, persidangan penderma antarabangsa yang diketuai oleh EU telah mengumpulkan sejumlah 6.05 bilion euro dalam bentuk geran dan pinjaman untuk Turkiye, sebahagian besar daripadanya datang daripada Kesatuan Eropah, negara-negara anggota EU, dan Bank Pelaburan Eropah.

Dana itu akan digunakan untuk pembinaan semula selaras dengan piawaian antarabangsa untuk zon gempa, kata suruhanjaya itu.

-- BERNAMA