DUBAI: Muzium Masa Depan Dubai menerima lebih 20,000 permohonan lengkap bagi inisiatif pengambilan pekerja "Future Perfects", manakala laman web rasmi kempen itu merekodkan 42,000 kunjungan dalam tempoh 48 jam pertama selepas permohonan dibuka, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Sambutan menggalakkan itu mencerminkan minat tinggi terhadap peluang pekerjaan baharu yang ditawarkan serta pendekatan inovatif muzium berkenaan dalam mengenal pasti dan menarik bakat.
Dilancarkan pada 21 Okt, inisiatif itu bertujuan mencari individu yang akan menjadi wajah utama muzium berkenaan dalam memberikan pengalaman baharu sepenuhnya kepada pengunjung apabila ia dibuka semula pada 2027.
Berbeza dengan proses pengambilan pekerja konvensional, inisiatif itu mengutamakan imaginasi, sifat ingin tahu, kecerdasan emosi, kemesraan dan kebolehsuaian dalam penilaian calon, tanpa mensyaratkan pengalaman bekerja di muzium atau dalam bidang khidmat pelanggan.
Ketua Pegawai Operasi Muzium Masa Depan, Azza AlNuaimi berkata, sambutan dalam tempoh 48 jam pertama mencerminkan minat tinggi terhadap peluang kerjaya yang mengiktiraf potensi seseorang melangkaui kelayakan yang tercatat dalam resume.
"Dubai sentiasa percaya bahawa potensi seseorang perlu diiktiraf tanpa terikat kepada laluan konvensional, dan Future Perfects menterjemahkan kepercayaan itu kepada tindakan.
"Kami percaya keunikan sifat kemanusiaan seseorang mungkin menjadi ciri yang paling sesuai untuk menjadikannya seorang Future Perfect. Membentuk masa depan memerlukan lebih daripada sekadar pengetahuan, tetapi juga keupayaan untuk menjadikan pengetahuan itu bermakna dan mudah difahami oleh orang lain," kata AlNuaimi.
Pasukan pengambilan pekerja muzium itu telah mula meneliti permohonan yang diterima, dengan calon akan melalui proses penilaian, pemilihan senarai pendek dan sesi uji bakat secara langsung pada peringkat akhir di hadapan panel hakim pakar.
Pemohon yang berjaya akan menyertai pasukan Pengalaman Pengunjung muzium itu sebagai pekerja sepenuh masa, dengan membantu pengunjung memahami idea berkaitan sains, teknologi, alam semula jadi, masyarakat dan masa depan menerusi interaksi yang bermakna.
Permohonan masih dibuka sehingga 8 Nov 2026 menerusi portal rasmi Futureperfects.ae, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai individu untuk menunjukkan kualiti diri yang melayakkan mereka menjadi seorang Future Perfect.
-- BERNAMA-WAM