Skip to main content

Dunia

Singapura jamin bekalan tenaga mencukupi meskipun Indonesia kurangkan eksport gas

EMA berkata pengurangan bekalan itu berjumlah 17 bilion unit terma British sehari (BBTUD) selama 18 hari, berbanding permintaan gas harian Singapura sebanyak 1,000 BBTUD. - Gambar hiasan
EMA berkata pengurangan bekalan itu berjumlah 17 bilion unit terma British sehari (BBTUD) selama 18 hari, berbanding permintaan gas harian Singapura sebanyak 1,000 BBTUD. - Gambar hiasan

Advertisement

SINGAPURA: Singapura memberi jaminan bahawa bekalan tenaganya kekal mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik meskipun Indonesia memutuskan untuk mengurangkan eksport gas asli ke republik itu.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) memaklumkan bahawa pengurangan bekalan itu melibatkan kurang daripada dua peratus keperluan gas harian Singapura.

EMA berkata, pengurangan bekalan itu berjumlah 17 bilion unit terma British sehari (BBTUD) selama 18 hari, berbanding permintaan gas harian Singapura sebanyak 1,000 BBTUD.

"EMA mengesahkan bahawa terdapat sedikit pengurangan bekalan gas asli dari Indonesia. Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pengimport gas asli kami, jumlah pengurangan itu adalah sebanyak 17 BBTUD dalam tempoh 18 hari.

"EMA difahamkan bahawa pengimport kami akan menggunakan segala saluran penyelesaian yang diperuntukkan dalam kontrak masing-masing berhubung gangguan bekalan gas itu," menurut kenyataan berkenaan.

Pihak berkuasa itu memaklumkan bahawa langkah luar jangka telah disediakan bagi menangani gangguan tersebut, sambil menjelaskan bahawa pengurangan bekalan antara 20 BBTUD hingga 100 BBTUD sebelum ini berjaya ditampung melalui sumber gas alternatif tanpa sebarang masalah.

"Singapore GasCo bersedia dari segi operasi untuk mengimport lebih banyak gas asli cecair (LNG) pada bila-bila masa.

"Selain Indonesia, Singapura turut mengimport gas asli daripada sumber lain di seluruh dunia," menurut EMA.

Terdahulu, Pasukan Petugas Kawal Selia Kegiatan Huluan Minyak dan Gas Indonesia mengumumkan bahawa negara itu mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 BBTUD seperti yang dirancang, berkuat kuasa Sabtu.

Pengurangan itu melibatkan 15 BBTUD dari Kepulauan Natuna di Laut China Selatan dan 16 BBTUD dari Pulau Sumatera di barat Indonesia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement