BANGKOK : Kerajaan Thailand pada Khamis melancarkan Festival Air Sedunia Maha Songkran 2024 bagi mempamerkan pelbagai tradisi negara itu sempena Songkran atau permulaan Tahun Baharu Thailand yang disambut setiap tahun dari 13 hingga 15 April.

Festival itu bermula dengan paparan budaya dan warisan Thailand yang meriah dengan perarakan sejauh satu kilometer menampilkan 20 perarakan besar dan lebih 1,000 penghibur yang berkampung di tengah-tengah Bangkok.

Menteri Pelancongan dan Sukan Sudawan Wangsuphakijkosol berkata, perarakan mewah itu jarang diperlihatkan di Bangkok.

Beliau berkata ia meraikan tradisi "Songkran di Thailand, festival Tahun Baharu Thailand tradisional" yang disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO.

"Semua orang dialu-alukan untuk menjadi sebahagian daripada meraikan kepercayaan tradisional dan tradisi tempatan yang membezakan Songkran di Thailand daripada semua negara lain," katanya pada penganjuran festival itu di sini Khamis.

Beliau menambah bahawa terdapat 16 wilayah yang mempamerkan tradisi Songkran mereka yang unik.

Esok (12 April), adalah cuti umum tambahan yang diumumkan oleh kerajaan Thailand dan 16 April adalah satu lagi cuti umum sebagai ganti 13 April yang jatuh pada hari Sabtu.

Songkran sering diraikan dengan perjumpaan keluarga, memberi penghormatan kepada orang tua, nenek moyang dan imej Buddha suci. Festival ini terkenal dengan aktiviti melontar air yang menggembirakan, perarakan yang meriah dan paparan berwarna-warni.

-- BERNAMA