DUNIA
Filem animasi ‘Ne Zha II’ kembali ke pasaran AS, Michelle Yeoh bawa watak Lady Yin
FILEM animasi epik China, "Ne Zha II", kini mendapat nafas baharu di Amerika Syarikat (AS) menerusi versi alih suara bahasa Inggeris yang menampilkan pelakon pemenang Oscar, Michelle Yeoh.
Ringkasan AI
- Filem animasi China "Ne Zha II" kini ditayangkan di AS dalam versi alih suara Inggeris dengan Michelle Yeoh sebagai Lady Yin.
- Filem ini adaptasi mitologi China dan hasil kerja lebih 4,000 animator, mencatat kutipan lebih AS$2.2 bilion.
- Versi alih suara dijangka tarik lebih ramai penonton antarabangsa, menonjolkan nilai budaya dan kisah perjuangan individu.
“Saya terus jawab ‘sudah tentulah ya’ bila ditanya nak jadi suara Lady Yin,” kata Yeoh dalam temu bual bersama Associated Press, sambil menyifatkan filem itu sebagai jambatan budaya yang penting antara Timur dan Barat.
"Ne Zha II" diadaptasi daripada mitologi klasik China dan novel "Investiture of the Gods", namun disampaikan dengan gaya kontemporari dan visual setanding filem Marvel.
Proses pembikinan mengambil masa lima tahun melibatkan lebih 4,000 animator dari 138 syarikat animasi China, menghasilkan lebih 2,400 babak animasi dan 1,900 kesan khas.
Yeoh turut memuji usaha penterjemahan yang mengekalkan keindahan bahasa asal sambil menjadikannya lebih mudah dihayati oleh penonton antarabangsa.
“Ia bukan sekadar hiburan, tetapi kisah tentang keluarga, kasih sayang dan perjuangan individu yang dilabel berbeza,” katanya.
Filem ini sebelum ini telah ditayangkan dalam versi sarikata di AS dan meraih kutipan lebih AS$20 juta, namun versi alih suara dijangka menarik lebih ramai penonton dari pelbagai latar budaya.
"Ne Zha II" dilapor mencatat kutipan lebih AS$2.2 bilion dan menjadi filem animasi paling laris sepanjang zaman.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami