Seorang wanita Amerika Syarikat disahkan dijangkiti virus Zika ketika mengunjungi Filipina, menurut jabatan kesihatan pada Ahad, sekali gus mencatatkan kes Zika pertama di negara itu sejak 2012.

Setiausaha Jabatan Kesihatan Filipina, Janette Garin berkata, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) telah memaklumkan bahawa seorang penduduk di Amerika Syarikat yang tinggal di Filipina untuk beberapa minggu pada Januari lalu, menunjukkan beberapa simptom pada minggu lepas sebelum pulang ke Amerika Syarikat.

"Kami dimaklumkan sejurus wanita berkenaan pulang ke Amerika Syarikat, dia telah menunjukkan beberapa simptom dijangkiti virus Zika.

"Ketika ini kami sedang berhubung rapat dengan CDC untuk mendapatkan beberapa maklumat termasuk profil pesakit berkenaan, dan tempat yang dilawatinya di Filipina," kata Garin dalam satu kenyataan.

Jurucakap rasmi jabatan kesihatan itu juga berkata mereka masih tidak dapat mengenal pasti bagaimana wanita berkenaan dijangkiti virus Zika ketika berada di Filipina.

Sebelum ini, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun didapati dijangkiti virus berkenaan pada 2012 namun pulih selepas tiga minggu.

Demam Zika adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika.

Ia disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi.