MANILA: Satu letupan bom buatan sendiri (IED) dilaporkan berlaku berhampiran pintu masuk kompleks Kementerian Keadilan (DOJ) Filipina awal pagi Isnin, beberapa jam sebelum satu lagi peranti letupan ditemui berdekatan bangunan Senat negara itu.
Insiden letupan di Jalan Padre Faura, Ermita yang berlaku pada jam 12.17 tengah malam itu bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa, namun impak runtuhan telah merosakkan cermin hadapan beberapa kenderaan di kawasan sekitar.
Kejadian berkembar berkenaan dikesan berlaku ketika ibu kota ini diletakkan di bawah kawalan keselamatan maksimum menjelang Ucapan Negara (SONA) tahunan kelima yang dijadual disampaikan oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr di Kongres.
Ketua Polis Wilayah Ibu Kota Negara (NCRPO), Jeneral Jose Melencio Nartatez Jr, berkata terdapat kemungkinan besar kedua-dua insiden berkenaan mempunyai kaitan dan bermotif sama.
Beliau berkata polis telah mengaktifkan pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang ancaman keselamatan sempena SONA 2026, namun salah satu peranti letupan itu berjaya ditempatkan berhampiran kawasan yang dikawal ketat.
Dalam kejadian berasingan berhampiran bangunan Senat di Pasay City, alat letupan IED itu ditemui di Diokno Boulevard oleh seorang pemandu lori tunda kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Pasukan Pemusnah Bom (EOD) yang tiba di lokasi kemudiannya berjaya mematikan peranti itu dan merampas beberapa komponen termasuk pemasa, bateri 9V, peledak serta bekas plastik yang mengandungi serbuk dipercayai bahan letupan untuk analisis lanjut.
Insiden berkenaan berlaku ketika ketegangan politik di Filipina semakin memuncak susulan krisis dalam gabungan pemerintah serta prosiding pemecatan yang sedang dihadapi Naib Presiden Sara Duterte.