KARUIZAWA (Jepun): Negara-negara utama perindustrian, Kumpulan Tujuh (G7) memberi amaran terhadap sebarang percubaan untuk mengubah orde antarabangsa secara paksa berikutan perang Rusia di Ukraine dan ketegasan China.

"Jadi kami akan menolak dengan tegas sebarang percubaan unilateral untuk menukar status quo secara paksa," kata Menteri Luar Jepun Yoshimasa Hayashi pada Isnin ketika menteri luar G7 membincangkan situasi di Indo-Pasifik, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Kami akan menunjukkan kepada dunia keazaman G7 untuk menegakkan orde antarabangsa berdasarkan kedaulatan undang-undang," kata Hayashi.

Rundingan menteri luar G7 diteruskan pada Isnin selepas makan malam pada Ahad di resort Karuizawa, Jepun.

Ancaman China terhadap Taiwan dan ujian peluru berpandu Korea Utara akan dibincangkan, selain keganasan mengejut di Sudan.

Pertemuan itu diadakan menjelang sidang kemuncak penuh pemimpin G7 di Hiroshima, Jepun pada Mei.

Jepun memegang jawatan presiden G7 dengan anggota lain kumpulan itu terdiri daripada Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA